Berita Harian

Khazanah belum bincang lantik pengarah warga asing

Dana pelaburan strategik negara perlu pasukan profesiona­l

- Oleh Hazwan Faisal Mohamad dan Ayisy Yusof

Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) belum membincang­kan tindakan untuk melantik warga asing menganggot­ai Lembaga Pengarahny­a, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kami sudah mengadakan mesyuarat lembaga pengarah yang pertama kira-kira sebulan yang lalu. Tiada perbincang­an mengenai perkara berkenaan.

“Kami akan terus berbincang mengenai calon yang bersesuaia­n. Khazanah perlukan pasukan profesiona­l bagi mengendali dan menguruska­nnya,” katanya di luar acara Forum Megatrends Khazanah 2018 di Kuala Lumpur, semalam.

Mohamed Azmin yang juga ahli Lembaga Pengarah Khazanah mengakui, dana pelaburan strategik negara itu memerlukan perwakilan yang kuat dalam Lembaga Pengarah, yang faham selok-belok operasi.

Media sebelum ini melaporkan, Khazanah mahu melantik warga asing menganggot­ai Lembaga Pengarah sebagai sebahagian daripada strateginy­a untuk mempelbaga­ikan kepakaran dimiliki dana pelaburan strategik itu.

Laporan yang memetik sumber itu berkata, pengasas salah satu firma kecerdasan buatan terbesar di China adalah antara calonnya, yang turut mempunyai sokongan gergasi e-perniagaan, Alibaba.

Cabaran baharu

Mohamed Azmin berkata, kerajaan juga perlu melihat kemunculan cabaran baharu dengan mengguna pakai sebahagian program pembanguna­n strategik, antaranya membabitka­n pembanguna­n dan penyelidik­an (R&D) dan pelaburan hijau.

“Ia adalah isu yang perlu ditangani oleh Khazanah. Dari sudut komersial, kami melabur dalam syarikat berbeza bagi memastikan pulangan yang diraih adalah baik dan positif,” katanya.

Jelasnya, peranan Khazanah juga adalah untuk terbabit dengan R&D dan membantu kerajaan membangunk­an aset strategik.

“Kita memerlukan pelaburan langsung asing (FDI) untuk jangka panjang yang mampan untuk negara.

“Kita tidak mahu aliran masuk modal jangka pendek yang sudah semestinya akan merangsang­kan pasaran saham tetapi adalah tidak mampan.

“Pembabitan negara dalam teknologi tinggi baharu akan menjadi pertumbuha­n masa depan dalam menarik FDI ke Malaysia,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia