Tindakan jika gagal sediakan persekitaran kerja selamat
Kuala Lumpur: Majikan serta kontraktor kepada pekerja warga Bangladesh yang terjatuh dari siling sebuah hotel lima bintang di Jalan Stesen Sentral di sini, kelmarin boleh dikenakan tindakan undangundang jika didapati gagal menyediakan persekitaran pekerjaan yang selamat
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pihak berkenaan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM50,000 mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.
Katanya, majikan juga bertanggungjawab menyediakan latihan dan peralatan perlindungan diri (PPE) dan pekerja pula wajib menggunakannya.
Majikan perlu patuh peraturan
“Mereka juga perlu patuh Peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan) 1970 serta mengikuti Garis Panduan Mengelak Terjatuh di Tempat Kerja, yang dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) pada 2007.
“Jika mereka melaksanakan Perkara 12 dalam Peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan) 1970, keselamatan pekerja yang bekerja pada ketinggian lebih 10 kaki boleh dipelihara, dengan menyediakan tali dan abah-abah.
“Pihak yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu juga boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dalam kejadian pada jam 3.30 pagi kelmarin, seorang pekerja warga Bangladesh cedera di kepala, selepas terjatuh dari ketinggian 12 meter ketika melakukan kerja baik pulih pendawaian elektrik di bahagian atas siling plaster di ruang lobi hotel terbabit.