Segera heret Myanmar ke ICC
Kira-kira setahun lalu pada 22 September 2017, Tribunal Awam Tetap Mengenai Kekejaman Myanmar terhadap Rohingya, Kachin dan Etnik Minoriti Lain mendapati bahawa jenayah kemanusiaan dan genosid dilakukan di Myanmar.
Fakulti Undang-undang Universiti Malaya menerbitkan prosiding penghakiman di Kuala Lumpur itu, untuk pengetahuan lebih meluas masyarakat awam dan antarabangsa.
Tribunal berkenaan dianjurkan dengan kerjasama tiga organisasi masyarakat sivil di Malaysia, iaitu Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST), International Forum on Buddhist-muslim Relations - BMF serta Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).
Sesi penutup tribunal diadakan di kemuncak kekejaman dan keganasan terburuk terhadap masyarakat awam Rohingya, yang dilancarkan pada 25 Ogos 2017 oleh angkatan bersenjata Myanmar bersama militan tempatan. Serangan itu mengakibatkan kekejaman dan tekanan berdekad lamanya ke atas masyarakat awam Rohingya.
Tribunal berkenaan mendengar keterangan saksi dari sudut yang lebih meluas dengan memberikan maklum balas terhadap masyarakat Kachin dan Muslim Myanmar, mendapati jenayah perang terus dilakukan ke atas kaum minoriti Kachin serta kekejaman terhadap ketiga-tiga kumpulan minoriti di Myanmar.
Tindakan genosid
Media massa, penyelidik dan agensi kemanusiaan di dunia memberikan laporan demi laporan yang memperkukuh penghakiman yang diasaskan oleh tribunal, bahawa tanda tindakan genosid terhadap Rohingya sudah wujud sejak 1978 lagi.
Dakwaan ini diperkukuh dalam beberapa siri laporan akademik dan undangundang pada 2002, 2012 dan 2016. Namun, semua amaran berkenaan tidak diendahkan oleh majoriti komuniti antarabangsa, dan proses pembunuhan beramai-ramai terus berlaku.
Bagaimanapun, dalam menghadapi penghijrahan beramai-ramai pada 2017, berikutan tindakan ketenteraan yang dirancang rejim Myanmar, realitinya tidak dapat dinafikan lagi, walaupun ramai yang enggan menyebutnya dengan nama dan institusi yang berkemampuan pula enggan mengambil tindakan.
Kerajaan Bangladesh yang merupakan negara yang padat penduduk serta terdedah kepada peristiwa iklim melampau, membuka pintu dan menggunakan sumber yang terbatas untuk membantu serta menyokong hampir sejuta pelarian Rohingya.
Namun, seperti diketahui umum, ia agak mustahil untuk bertahan terutama bagi jangka masa panjang. Ramai pemimpin dunia melawat kem pelarian yang bukan sahaja penuh kesengsaraan dan kesedihan, tetapi gagal memenuhi keperluan asas kemanusiaan pelarian.
Jenayah kemanusiaan
Baru-baru ini, pada 27 Ogos, Misi Bebas Pencarian Fakta PBB (IFFM) mendapati ‘jenayah terhadap kemanusiaan dilakukan di negeri Kachin, Rakhine dan Shan, terutamanya oleh Tatmadaw’ dan mendesak ‘penyiasatan dan pendakwaan’ supaya mahkamah boleh menentukan liabiliti mereka berhubung pembunuhan beramai-ramai di Rakhine. CENTHRA menyokong penuh hasil penemuan dan gesaan yang dikemukakan IFFM itu.
Justeru, CENTHRA menyeru masyarakat antarabangsa untuk segera bertindak. Kita tidak boleh menerima sebarang bentuk pembunuhan beramai-ramai dilakukan pada zaman moden ini.
Rujukan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) adalah tindak balas kehakiman minimum untuk memastikan akauntabiliti yang sesuai, bagi pelaku dan mereka yang bertanggungjawab terhadap kekejaman yang dilakukan di Myanmar.
CENTHRA menyeru masyarakat antarabangsa untuk segera bertindak. Kita tidak boleh menerima sebarang bentuk pembunuhan beramai-ramai dilakukan pada zaman moden ini”
Dalam konteks ini, langkah penting ke hadapan sudah diambil dalam keputusan oleh Pre-trial Chamber ICC I pada 6 September, bahawa mahkamah boleh menjalankan bidang kuasa atas dugaan pengusiran penduduk Rohingya dari Myanmar ke Bangladesh, walaupun Myanmar bukan negara yang meratifikasi ICC Statut Rome dan dalam keputusan seterusnya pendakwa membuka penyiasatan awal.
Hak asasi manusia
Inisiatif antarabangsa sedemikian boleh disasarkan untuk diadakan di Rom, yang menjadi lokasi bersejarah ICC diisytiharkan 20 tahun yang lalu, pada awal Disember ini.
Secara kebetulan, tarikh itu bersamaan dengan ulang tahun ke-70 Deklarasi PBB dan kelulusan Konvensyen Genosid.
CENTHRA melihat inisiatif sedemikian sebagai cara membina pergerakan antarabangsa, yang diselaraskan berdasarkan pemahaman tentang diagnosis asas iaitu:
Keadaan tragis di Myanmar menggambarkan apa yang sedang berlaku pada masa ini dalam sejarah, bukan sahaja di negara berkenaan tetapi dalam begitu banyak sudut lain di dunia.
Kesukaran yang besar dan sering kali kegagalan undang-undang antarabangsa untuk melindungi individu dari pelanggaran serius, oleh negara seperti Myanmar.
Kelewatan tindakan masyarakat antarabangsa dalam melaksanakan perjuangan untuk menghormati hak asasi manusia.
CENTHRA melihat inisiatif sedemikian sebagai cara membina pergerakan antarabangsa”