Laungan azan Tokoh Maal Hijrah berkumandang di Palu
Sekolah agama jadi markas operasi, penempatan sukarelawan MAPIM
Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang 2018, Kamarudin Abdullah (gambar), melaungkan azan Zuhur dari sebuah bangunan di sekitar kawasan perumahan di sini, semalam.
Di sebalik kekangan beberapa masjid di daerah Palu yang tidak mampu melaungkan azan menggunakan pembesar suara berikutan kerosakan akibat gempa bumi dan tsunami pada 28 September lalu, kelantangan laungan azan pendakwah terkenal itu memecah keheningan suasana di sini.
Kamarudin yang juga Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), melaungkan azan Zuhur jam 11.45 pagi waktu tempatan di bangunan milik Sekolah Menengah Agama Al-quran Karisma, yang ditinggalkan tidak berpenghuni selepas tragedi gempa bumi dan tsunami.
Imam sukarelawan MAPIM
Beliau kemudian menjadi imam kepada jemaah yang terdiri daripada sukarelawan misi bantuan kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di bangunan yang sama.
Bangunan sekolah agama itu kini dijadikan markas operasi dan penempatan pasukan misi kemanusiaan MAPIM seramai 40 sukarelawan termasuk Kamarudin yang mewakili IPSI.
Menurut penduduk setempat, bangunan sekolah agama berkenaan dikosongkan sebaik berlaku gempa, dengan ibu bapa dan penjaga pelajar dipanggil mengambil anak mereka pulang ke rumah.
Gempa bumi 7.7 pada skala Richter dan tsunami itu setakat ini mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terkesan akibat tragedi berkenaan.