Tingkat peluang perniagaan dalam sektor pembinaan
Advancecon mahu kerajaan perkenal langkah tawar lebih banyak peluang
Bajet 2019 perlu memperkenalkan langkah untuk menawarkan lebih banyak peluang kepada PERNIagaan pembinaan tempatan, demikian menurut Advancecon Holdings Bhd (Advancecon).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon, Datuk Phum Ang Kia, berkata kerajaan perlu memfokuskan penyertaan kontraktor tempatan yang layak dalam projek rel dan lebuh raya utama untuk meningkatkan rangkaian hubungan di seluruh negara.
“Kami berharap kerajaan mengutamakan dasar penting bagi memastikan negara ini terus berada di landasan ke arah mencapai status berpendapatan tinggi.
“Dasar seumpama itu perlu menekankan peningkatan perbelanjaan membolehkan rakyat mampu untuk membeli rumah pertama mereka.
“Ini pastinya akan memberi rangsangan diperlukan dalam pasaran hartanah,” katanya.
Pelan tindakan pekerja asing
Selain itu, beliau juga meminta kerajaan untuk menyediakan pelan tindakan lebih jelas berhubung isu berkaitan dengan pekerja asing.
“Sebagai sebuah syarikat pembinaan, kami masih memerlukan perkhidmatan buruh asing pada peringkat tertentu. Ini akan memberikan masa yang mencukupi kepada kami untuk melaksanakan perancangan sumber manusia serta menyesuaikan diri terhadap sebarang perubahan yang akan terjadi tanpa memberi halangan terhadap operasi kami,” katanya.
Advancecon, ditubuhkan pada April 1990, adalah peserta utama dalam perkhidmatan kerja tanah dan kejuruteraan awam.
Syarikat itu menjalankan kerja lebih daripada RM500 juta dalam tempoh tiga tahun dan memiliki kontrak dalam tangan berjumlah RM908.8 juta.
Ia termasuk kerja bagi projek infrastruktur seperti Lebuh Raya Pantai Barat, Lebuh Raya Pan Borneo dan Lebuh Raya Lembah Klang Selatan dan pembangunan perbandaran.