Ibu bapa bimbang masa depan anak
Kuala Lumpur: Hala tuju pelajar sekolah sukan yang dilihat tidak menentu khususnya bagi kelompok yang gagal menempatkan diri dalam bidang diceburi nyata menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa.
Walaupun pada awalnya mereka menyertai sekolah sukan dengan berbekalkan matlamat kerjaya bergelar pemain kebangsaan dan mewakili negara pada masa akan datang, kegagalan merealisasikan citacita berkenaan menyebabkan mereka akhirnya terpaksa melakukan kerja yang tiada kaitan dengan impian itu.
Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SMK Seri Titiwangsa, Mohd Zaki Ahmad mengakui situasi itu sememangnya berlaku dalam arena sukan tempatan sekali gus turut menyemat kerisauan dalam kalangan ibu bapa pelajar.
Sediakan aset
“Tugas kami memang menyediakan aset itu untuk masa depan tapi kita tidak tahu ke mana hala tuju mereka (pelajar). Kapasiti sekolah adalah hanya sebagai pusat untuk melahirkan ramai pemain berkualiti dan sepatutnya itulah yang berlaku.
“Tapi hakikatnya, saya kira mungkin hanya ada dua atau tiga sahaja yang akan berjaya pergi lebih jauh berbanding rakan mereka.
“Jadi, kegusaran yang saya maksudkan di sini adalah ke mana hala tuju kebanyakan daripada mereka dan apa nasib kelompok pemain yang tidak berjaya ini kerana mereka sebelum ini menyerahkan segalagalanya untuk menjadi pemain negara.
“Begitupun, kesungguhan terhadap latihan dengan sanggup berhujan berpanas bagaikan tidak berbaloi sehingga tumpuan mereka kepada pelajaran pula yang terjejas. Itu yang menimbulkan kegusaran ibu bapa dan menjadi topik utama mereka apabila berjumpa saya.
“Tapi, sebahagian besar daripada mereka memang tidak akan dapat mengapai impian itu (menjadi pemain kebangsaan). Bukan mahu menafikannya tetapi itulah hakikat sebenarnya,” katanya.
Justeru, Mohd Zaki menegaskan perlunya ada satu mekanisme yang dirasakan sesuai sebagai jalan keluar bagi membantu kelompok pemain ini berada di landasan betul sekali gus tidak mensiasiakan potensi dimiliki.
“Kita perlukan bantuan pelbagai pihak untuk membantu bagi memastikan masa depan anakanak kita yang terbabit dengan sukan, terus terjamin sekalipun jika gagal bergelar pemain negara.
“Ini penting kerana kita tidak mahu bakat dimiliki itu tidak dapat digunakan untuk membantu perkembangan sukan di negara ini,” katanya.