Anak Malaysia cemerlang di Argentina
Raih 2 emas, 1 perak dengan hoki penyumbang terakhir pingat
Kontinjen negara di Sukan Olimpik Belia (YOG) menambah satu lagi pingat emas semalam menerusi pasukan hoki lelaki pada hari terakhir temasya berlangsung di Buenos Aires, Argentina.
Malaysia menewaskan India dengan jaringan 4-2 untuk pingat emas kedua negara selepas pemain badminton perseorangan wanita, Goh Jin Wei menghadiahkan emas pertama negara Sabtu lalu.
Ia adalah pencapaian paling gemilang negara pada temasya itu dengan memenangi dua pingat emas dan satu perak.
Pingat perak negara yang disumbangkan oleh gimnas negara Ryana Hoh sebelum ini.
Bangkit dari ketinggalan
Skuad hoki bawah 18 negara mempamerkan aksi memberangsangkan apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menang ke atas jaguh Asia itu.
Gol skuad lima sebelah negara disumbangkan oleh Muhammad Noor Firdaus Rosdi, Mohamad Akhimullah Anuar Esook serta kapten pasukan, Muhammad Amirul Hamizan Azahar.
Bagi Amirul ia satu pencapaian yang membanggakan dan yakin pencapaian ini akan membanggakan seluruh rakyat Malaysia.
“Saya rasa seluruh rakyat Malaysia akan bangga dengan pencapaian skuad hoki negara. Kami akan meraikan kejayaan ini mungkin dengan makan coklat atau mendengar muzik,” katanya.
Malaysia mula meraih pingat di YOG 2010 di Singapura menerusi penerjun negara Pandelela Rinong yang menyumbangkan dua perak.
Empat tahun kemudian di Nanjing, China, Loh Zhiayi juga dalam acara terjun menghadiahkan satu perak dan satu gangsa.
Sementara itu, bekas jurulatih skuad hoki remaja kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah percaya pingat emas dimenangi itu perlu mendapat lebih perhatian kerajaan terutama membabitkan dana.
“Keputusan India, Australia dan Argentina membariskan pemain bawah 18 tahun terbaik mereka di YOG adalah pengiktirafan untuk pembangunan pemain remaja kita selama ini,” kata Dharma Raj.
“Tiada sesiapapun boleh memperkecilkan pencapaian mereka, dan ketika ini, kerajaan menerusi Majlis Sukan Negara sepatutnya menyalurkan lebih banyak dana bagi pembangunan skuad remaja,” katanya.
Keputusan India, Australia dan Argentina membariskan pemain bawah 18 tahun terbaik mereka di YOG adalah pengiktirafan untuk pembangunan pemain-pemain remaja kita selama ini” Muhammad Dharma Raj Abdullah, Bekas jurulatih skuad hoki remaja kebangsaan