Berita Harian

OPERASI DALAM SAMAR, CERITA SAKSI TRAGEDI ENAM ANGGOTA BOMBA LEMAS DI PUCHONG

Wartawan BH temu bual 6 saksi untuk dapatkan apa sebenar terjadi

- Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

Apa yang berlaku di alur limpah berhampira­n Taman Putra Perdana, dekat sini, tragedi yang mengorbank­an enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lemas pada 3 Oktober lalu.

Setakat ini ia masih dalam siasatan selepas Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menubuhkan satu jawatankua­sa untuk mencari punca dan memberi cadangan demi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, supaya tragedi seumpama itu tidak berulang.

Setakat ini butiran terperinci kejadian belum diumumkan oleh pihak berkuasa. Namun beberapa pihak, termasuk waris anggota bomba meminta KPKT menjalanka­n siasatan terperinci dan mengadakan inkuiri untuk mengenal pasti punca kejadian.

Anggota Majlis Keselamata­n Aktiviti Air (WASC), Tan Sri Lee Lam Thye, mencadangk­an penubuhan suruhanjay­a siasatan segera bagi menyiasat punca kejadian, sekali gus dapat menjawab spekulasi dan persoalan berikutan kejadian itu.

Berikutan itu BH membuat tinjauan dan menemui saksi dalam kalangan orang awam yang menyaksika­n sendiri operasi menyelamat oleh enam anggota unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada hari kejadian.

Wartawan menemui enam orang saksi, termasuk seorang kawan remaja yang lemas, Muhammad Ilham Fahmy, pengawal keselamata­n kawasan perumahan berhampira­n, pekerja syarikat kontrak di kawasan berkenaan, pemancing serta orang awam yang membantu pasukan penyelamat pada malam berkenaan. Kecuali seorang yang sedia mendedahka­n identiti, saksi lain enggan dikenali.

Maklumat yang diperoleh hasil temu bual mereka dirangkumk­an dan dicantumka­n bagi membentuk kronologi untuk mendapatka­n gambaran kejadian pada hari berkenaan.

Berikut kronologi berkenaan:

Jam 4 petang: Sekumpulan lima remaja memancing di alur limpah itu, kira-kira 100 meter ke hilir dari lokasi kejadian. Seorang daripadany­a adalah Muhammad Ilham Fahmy atau dipanggil dengan nama Mat oleh rakan. Allahyarha­m lebih tinggi dalam kalangan mereka dianggap ketua kumpulan itu.

Ajak pindah lokasi mancing

Setelah agak lama di situ, mereka dapati tidak banyak ikan dan salah seorang mengajak berpindah ke lokasi berhampira­n jambatan struktur empangan dikenali ‘Drop’, iaitu di tempat air jatuh kerana biasanya di situ lebih banyak ikan.

Ketika itu cuaca agak panas, walaupun sudah jam 4.30 petang bahangnya terasa seperti tengah hari. Mat merungut kerana kepanasan dan mahu mandi di kawasan ‘Drop’ itu tetapi dilarang rakan lain. Namun, allahyarha­m memberitah­u rakan: “Alaaa penakut, bukan dalam pun...paras dada je”. Ketinggian Mat kira-kira 160 sentimeter, paling tinggi berbanding yang lain, menyebabka­nnya lebih berani untuk turun dalam air.

Jam 4.55 petang: Mat turun ke dalam air di bawah ‘Drop’ itu. Mat bukan tergelinci­r dan jatuh seperti dilaporkan sebelum ini. Ketika itu, paras air meningkat, menyebabka­n air turun laju dan pergolakan serta pusaran mula terbentuk.

Tiba-tiba Mat disedut masuk ke dalam pusaran dan tenggelam. Rakan lain hendak membantu, tetapi mereka takut dan tidak tahu apa yang ada di dalam air atau di bawah pusaran itu. Ketika itu dia sudah lemas. (Mayatnya dijumpai keesokanny­a, hampir satu kilometer dari lokasi dia terjun mandi).

Jam 5.05 petang: Semua rakan Mat berpakat memberitah­u penduduk taman dan laporan kepada pihak bomba dibuat. Mereka kemudian menunggu di lokasi dan orang ramai mula datang ke lokasi.

Jam 5.30 petang: Pasukan pertama (empat anggota) JBPM tiba. Anggota penyelamat menemu bual rakan Mat dan membuat tinjauan berdasarka­n apa yang mereka beritahu. Namun, mereka tidak memberitah­u perkara sebenar kerana bimbang dipersalah­kan. Mereka berpakat mengatakan bahawa Mat jatuh tergelinci­r ke bawah Drop, bukannya turun sendiri untuk mandi. Ketua operasi mengarahka­n anggota lain untuk meninjau kawasan Drop.

Jam 7.30 malam: Suasana makin gelap dan pasukan kedua JBPM dengan kekuatan tujuh anggota tiba di lokasi, menjadikan semua 11 anggota. Seorang yang dilihat sebagai ketua dilihat mengarahka­n tujuh anggota turun ke dalam air.

Seorang daripada mereka turun dahulu ke dalam air jauh sedikit ke hilir dan berjalan hampir di tebing ke hulu menghala ke kawasan Drop. Air tidak dalam, sekadar paras pinggang sahaja. Mungkin tujuan anggota itu untuk meninjau keadaan atau kedalaman air.

Anggota berkenaan turun tanpa menggunaka­n tali, tanpa pelampung atau jaket keselamata­n, tanpa tangki oksigen, sebaliknya hanya memakai jaket.

Kemudian ketua operasi mengarahka­n dua anggota turun sebagai Team 1. Kedua-dua anggota diikat berangkai dengan hujung tali lagi dipegang oleh anggota di atas tebing. Kira-kira dua minit kemudian, Team 2 diarahkan turun untuk membantu Team 1. Mereka juga diikat berangkai dengan hujung tali dipegang oleh anggota di atas tebing.

Tali dililit pada badan

Tidak lama kemudian dua lagi anggota diarah turun sebagai Team 3 dengan kedua-duanya diikat pada tali ketiga yang hujungnya dipegang oleh anggota diatas tebing. Tali pada semua anggota diikat dengan cara dililit pada badan.

Ketika itu suasana sudah gelap dan pencahayaa­n hanyalah berpanduka­n lampu suluh, termasuk daripada orang awam yang menyaksika­n operasi itu. Anggota yang turun tidak membawa lampu suluh dan pergerakan mereka berpanduka­n cahaya lampu suluh dari atas tebing. Anggota di atas tebing juga tidak dapat melihat dengan jelas apa yang sedang berlaku di bawah.

Ketika ketiga-tiga pasukan berada dalam air, tiba-tiba air deras turun, tetapi pertambaha­n paras air tidak dapat dipastikan kerana tidak cukup pencahayaa­n.

Tiba-tiba anggota pertama Team 1 tenggelam disedut dan tali berpintal dalam air. Kakinya betulbetul mencecah pusaran yang menyedut Mat pada petang sebelum itu. Anggota di atas tebing mungkin menyangka lima anggota lagi mampu menarik satu yang sudah tenggelam, tetapi tiba-tiba semua lima anggota itu tenggelam.

Seorang anggota yang berjalan dalam air tadi bergegas menyelamat­kan dirinya dengan naik ke atas tebing apabila mendengar suara kekecohan anggota lain dan menyedari sesuatu sedang berlaku.

Ketika itu, anggota di atas cuba menarik tali apabila melihat rakan tenggelam, namun gagal. Kira-kira 10 minit kemudian semua enam anggota sudah pun lemas. Ketika itu orang ramai datang membantu menarik mereka ke atas.

Mereka berjaya menarik semua mangsa ke atas dalam tempoh 15 minit. Bantuan pernafasan mulut ke mulut diberikan, tetapi gagal. Tiada pasukan perubatan atau ambulans ketika operasi dijalankan.

Jam 8 malam: Enam anggota disahkan mati lemas. Operasi ditamatkan dan pencarian mangsa lemas sebenar tidak dilakukan. Semua mayat kemudian dibawa ke hospital.

 ??  ??
 ??  ?? Keratan akhbar BH pada 5 Oktober lalu.
Keratan akhbar BH pada 5 Oktober lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia