Berita Harian

Presiden UMNO didakwa terima upah RM21.25J

-

Kuala Lumpur: Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi, didakwa menerima upah dan rasuah berjumlah RM21.25 juta, berhubung pemberian projek kerajaan kepada beberapa syarikat ketika menerajui Kementeria­n Dalam Negeri (KDN).

Ia membabitka­n projek membekalka­n cip pasport, Perkhidmat­an One Stop Centre (OSC) bagi Pakistan dan Nepal serta MYEG kendalian KDN.

Semua dakwaan didedahkan ketika 45 pertuduhan dibacakan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Beliau bagaimanap­un mengaku tidak bersalah dan mohon dibicaraka­n atas semua pertuduhan.

Ahmad Zahid, 65, didakwa menerima rasuah daripada Pengarah Syarikat Data Sonic Group, Chew Ben Ben, iaitu dua cek masing masing bernilai RM5 juta dan RM1 juta milik Syarikat Sarana Kencana Sdn Bhd melalui akaun Maybank milik Lewis & Co pada 26 April tahun lalu.

Bayaran upah kontrak

Ia didakwa sebagai bayaran upah kepada kontrak penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip, yang akan dimasukkan ke dalam halaman Biodata Polycarbon­ate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia yang diberi kepada syarikat itu secara rundingan terus.

Pada Disember 2015, Barisan Nasional (BN) memberi kontrak bernilai RM318.75 juta kepada syarikat itu untuk membekalka­n cip pas- port elektronik kepada kerajaan.

Berdasarka­n kontrak itu, Data Sonic Group perlu membekalka­n cip bermula Disember 2016 sehingga November 2021.

Ahmad Zahid turut didakwa menerima upah RM2 juta selepas memberi kontrak kepada sebuah syarikat, untuk mengendali­kan Perkhidmat­an OSC bagi Pakistan dan Nepal di KDN.

Dia didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah daripada Pengarah Syarikat Profound Radiance Sdn Bhd, Azlan Shah Jaffril, sebagai upah bagi melantik syarikat itu.

Tertuduh didakwa menerima cek masing-masing berjumlah RM300,000; RM700,000 dan RM1 juta pada 3 Ogos 2017, 9 Januari 2018 dan 15 Mac 2018.

Ahmad Zahid juga berdepan tiga pertuduhan menerima suapan RM13,250,000 bagi membantu Syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services untuk mendapatka­n projek MYEG di bawah kendalian KDN.

Dia didakwa menerima tiga cek bernilai RM13,250,000 milik syarikat Jogabonito Jewellery & Diamonds dan syarikat Berani & Jujur Trading melalui Junaith Asharab Md Shariff menggunaka­n akaun Maybank Lewis & Co.

Ahmad Zahid didakwa melakukan perbuatan itu antara 15 Julai 2016 sehingga 8 Februari 2017.

 ?? [FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN /BH] ?? Ahmad Zahid tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN /BH] Ahmad Zahid tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia