Berita Harian

FELCRA umum CEO baharu

Agensi mahu jual menara masih dalam pembinaan

- Oleh Rizanizam Abdul Hamid

FELCRA Berhad mengumumka­n pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa Isnin ini, serta penjualan Menara FELCRA di Jalan Semarak di sini, yang dalam pembinaan bagi mengelak implikasi terhadap kewangan syarikat ketika ini.

Pengerusin­ya, Datuk Nageeb Wahab, berkata pelantikan Mohd Nazrul Izam Mansor, 43, itu menggantik­an Datuk Zulkarnain Md Eusope, 51, yang menamatkan perkhidmat­an semalam.

“Persetujua­n lantikan ini dicapai secara bersama oleh Zulkarnain yang sepatutnya tamat kontrak selamat tiga tahun berakhir Julai 2019 dengan Lembaga Pengarah dan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Turut dilantik adalah sembilan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) baharu, menggantik­an barisan terdahulu yang meletak jawatan.

“Mereka bukan dalam kalangan ahli politik dan ada empat lagi kekosongan ahli (BOD) yang akan diputuskan PMO secepat mungkin,” katanya di Wisma FELCRA, semalam.

Mengulas pelantikan CEO baharu, Nageeb berkata, pengalaman lebih 20 tahun Mohd Nazrul Izam dalam bidang korporat dan sebagai akauntan bertauliah diharap dapat membawa FELCRA ke tahap lebih tinggi.

Ucapan penghargaa­n

“Kita juga mengucapka­n setinggi-tinggi penghargaa­n kepada Zulkarnain di atas sumbangan selama mengetuai FELCRA Berhad,” katanya.

Mohd Nazrul Izam sebelum ini adalah Pengarah Urusan Teras Dara Konsortium Sdn Bhd, sebuah syarikat cemerlang dalam bidang tenaga, perladanga­n, pelaburan hartanah dan pembanguna­n hartanah, selain berpengala­man luas dalam beberapa entiti korporat yang lain.

Beliau juga adalah ahli Chartered Accountant (Malaysia) dan Certified Practicing Accountant (CPA), selain alumni The University Of Queensland, Brisbane, Australia.

Mengenai penjualan Menara FELCRA yang kini sudah 50 peratus siap, beliau berkata pihaknya ketika ini berunding dengan beberapa pihak dari dalam dan luar negara.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira FELCRA perlu membelanja­kan kira-kira RM400 juta lagi untuk meneruskan projek yang bertukar pemaju dan dijangka siap akhir tahun depan.

“Awalnya FELCRA tidak mengeluark­an perbelanja­an untuk projek menara ini yang ditanggung pemaju dan kita memberi mereka bangunan pejabat, namun atas sebab tertentu kontrak dengan pemaju ditukar.

“Ini menyebabka­n kita membelanja­kan RM200 juta setakat ini dan keputusan menjual projek ini terpaksa dilakukan bagi memastikan aliran tunai dalam keadaan baik,” katanya.

Projek Menara FELCRA di kawasan seluas 1.8 hektar bernilai RM150 juta milik FELCRA itu membabitka­n projek pembanguna­n campuran termasuk menara pejabat 35 tingkat, menara kediaman 43 tingkat dan pusat beli-belah.

Mengikut perancanga­n asal, FELCRA Bhd tidak sepatutnya membayar untuk projek pembanguna­n berkenaan kerana semua kos ditanggung pemaju.

Pemaju akan mendapat semula pelaburann­ya dengan menyewakan seluruh ruang pejabat dan daripada jualan unit kediaman yang dibina atas tanah milik FELCRA itu.

Mengenai anggaran nilai jualan projek berkenaan, Nageeb yang juga CEO Malaysia Palm Oil Associatio­n (MPOA), berkata ia dianggap memadai jika dapat dijual melebihi nilai tanah FELCRA iaitu RM150 juta, namun pihaknya akan melihat tawaran harga lebih tinggi.

“Sudah tentu kami mahu kekal dengan perancanga­n asal meneruskan projek menara ini dengan nilai pembanguna­n kasar (GDV) dianggar lebih RM1 bilion apabila siap kelak, namun realitinya tidak semudah itu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia