Berita Harian

Anwar puas hati Dr Mahathir terima perjuangan reformasi

Agenda dibawa PKR perlu diangkat agenda nasional

- Oleh Iskandar Shah Mohamed dan Khairul Azran Hussin

Bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengakui beliau berpuas hati apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akhirnya menerima perjuangan reformasi yang diperjuang­kan parti itu.

Beliau berkata, agenda reformasi yang dibawa oleh PKR sejak 20 tahun lalu bukan sia-sia apabila kini diangkat sebagai agenda nasional untuk membentuk Malaysia Baharu.

“Tidak boleh digambarka­n perasaan saya apabila Dr Mahathir sendiri bercakap mengenai reformasi.

“Dr Mahathir begitu komited melakukan reformasi dalam sistem negara yang rosak serta perlu diubah.

“Selama 20 tahun saya berjuang dan akhirnya muncul ketua kerajaan (Dr Mahathir) yang mengungkap­kan negara ini harus meninggalk­an kebobrokan, rasuah dan kerosakan yang berlaku.

“Dahulu, kita gesa reformasi kepada sistem kehakiman, SPRM, polis sehingga kepada gejala rasuah., akhirnya ia dilaksanak­an...bezanya reformasi ini diucap Dr Mahathir,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Program Pidato Malaysia Baharu di Dewan Raja Musa Seksyen 7, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin serta Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Setuju pilih Dr Mahathir

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau setuju memilih Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri demi untuk memulihkan kerosakan yang berlaku dalam sistem negara.

“Saya senyum dalam tangisan (persetujua­n Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri). Hati terluka siapa yang tahu. Bagi saya derita peribadi amatlah kecil berbanding derita rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar turut mengingatk­an kepemimpin­an parti itu supaya tidak lupa diri dengan kejayaan membentuk kerajaan.

“Ingatlah perjuangan kita bermula dari jalanan ke parlimen dan kemudian ke Putrajaya pula.

“Sikap mahu berebut kuasa, kerakusan dan kegelojoha­n untuk merebut kekayaan hanya akan melemahkan kita semua,” katanya.

 ?? [FOTO BERNAMA] ?? Anwar berucap pada Program Pidato Malaysia Baru di Shah Alam, kelmarin.
[FOTO BERNAMA] Anwar berucap pada Program Pidato Malaysia Baru di Shah Alam, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia