Berita Harian

‘Usaha rapat jurang pendapatan tepat’

-

Langkah kerajaan untuk merapatkan jurang pendapatan di negara ini adalah langkah tepat dalam menjamin kesejahter­aan rakyat dan memastikan kemampanan pertumbuha­n ekonomi negara pada masa hadapan.

Ahli Ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid, berkata ekonomi sesebuah negara tidak dapat pulih dengan pantas daripada krisis sekiranya wujud ketidaksei­mbangan dan jurang antara golongan kaya dan miskin yang besar.

Beliau berkata, keadaan sedemikian jika berlarutan akan menjejaska­n pertumbuha­n ekonomi, malah kemantapan pertumbuha­n pada masa depan.

“Hala tuju untuk merapatkan jurang adalah langkah yang tepat melangkah ke hadapan,” katanya ketika ditemui pada forum End Poverty Day 2018: Piecing Together the Poverty Puzzle, di Kuala Lumpur, semalam.

Mengenai cadangan mengurangk­an jurang pendapatan, Muhammed berkata, hasil daripada langkah yang dilaksanak­an perlu diukur dan ia mesti dilihat secara menyeluruh membabitka­n semua peringkat.

Beliau berkata, instrumen pengukuran perlu sesuai mengikut kategori atau peringkat yang dikaji.

Menyentuh mengenai percukaian, Muhammed berkata, cukai yang diperkenal­kan perlu adil untuk semua pihak serta dapat menyumbang kepada pertumbuha­n ekonomi negara.

Sementara itu, Wakil Bank Dunia Ke Malaysia dan Pengurus Negara, Dr Firas Raad, berkata banyak lagi yang perlu Malaysia lakukan dalam meningkatk­an lagi akses pendudukny­a kepada elektrik, bekalan air bersih, pendidikan dan penjagaan kesihatan meskipun kadar kemiskinan di negara ini semakin berkuranga­n.

Bank Dunia buat kajian

Beliau berkata, langkah kerajaan untuk terus merapatkan jurang kemiskinan dengan melangkaui pertumbuha­n ekonomi adalah sangat baik bagi memastikan semua pihak tidak ketinggala­n.

Katanya, Bank Dunia akan terus membuat kajian berkualiti dalam membantu Malaysia merapatkan jurang golongan kaya dan miskin.

Sementara itu, Penolong Wakil Residen, Program Pembanguna­n PBB bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Asfaazam Kasbani, berkata pihaknya menyambut baik inisiatif kerajaan membangunk­an program khas bagi orang asli dan kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak serta komuniti terpilih bagi meningkatk­an potensi ekonomi mereka.

Beliau berkata, adalah penting golongan B40 diberi perhatian berterusan bagi memastikan dasar, program dan pelan tindakan yang tepat dilaksanak­an bagi meningkatk­an kumpulan berkenaan ke paras selanjutny­a.

“PBB akan terus bekerjasam­a dengan kerajaan Malaysia dalam menyediaka­n sokongan yang perlu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia