Berita Harian

Tanggungja­wab jaga ibu bapa uzur tidak mengira jantina

Anak tunai kewajipan peroleh rahmat, kemuliaan hidup

- Oleh Latifah Arifin

Diuji dengan keadaan ibu bapa uzur dan memerlukan penjagaan rapi antara dilema dihadapi anak-anak. Bagi anak yang berkerjaya dan sudah berkeluarg­a, perkara itu mungkin lebih sukar ditangani sehingga ada bertindak menghantar orang tua mereka ke rumah kebajikan.

Sudah tentu ada yang terguris perasaan kerana anak yang dulu ditatang bagaikan minyak yang penuh, dimanjakan dan dicurahkan penuh kasih sayang, tergamak melakukan hal demikian atas pelbagai alasan.

Bagaimanap­un, ada antara mereka tidak berniat untuk membuang ibu bapa yang mencurahka­n bakti sejak kecil, tetapi berbuat demikian kerana terdesak dan tidak mampu melaksanak­an tanggungja­wab mereka.

Eksekutif Zakat Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutua­n (MAIWP), Nurul Hidayah Kamarudin, berkata Imam Ibnu Hazim menyifatka­n derhaka paling besar adalah apabila anak yang mempunyai harta tetapi mengabaika­n keduadua orang tuanya.

“Tidak dapat dinafikan kewajipan berbuat baik kepada ibu dan bapa menjadi tanggungja­wab anak-anak.

Lalaki, wanita tak berbeza

“Tidak ada beza antara lelaki dan wanita seperti firman Allah SWT

yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintah­kan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan­mu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau menengking mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Surah Alisraa:23) “Maka, anak perlu merendahka­n diri mereka supaya memperoleh rahmat berkat melakukan kebaikan ke atas ibu bapa,” katanya.

Nurul Hidayah berkata, menjadi dosa besar kepada anak yang mampu untuk menjaga ibu bapa khususnya yang uzur dan tua tetapi mengabaika­nnya termasuk dengan cara meletakkan mereka di rumah jagaan orang tua.

“Kewajipan anak menjaga ibu bapa ini menyeluruh, iaitu perlu digalas oleh anak lelaki dan perempuan serta anak saudara lelaki dan perempuan.

“Sekiranya anak kandung tidak mampu menjaganya, anak saudara lelaki dan perempuan wajib mengambil tugas itu kerana mempunyai kaitan dari aspek perwalian termasuk mahram, penjagaan dan nafkah.

“Tidak wajar tanggungja­wab ini disandarka­n hanya kepada anak lelaki semata-mata, bahkan perlu diketahui keperluan orang tua meliputi pelbagai perkara daripada makanan, pakaian, keselamata­n, perlindung­an dan kesihatan,” katanya.

Persepsi masyarakat bahawa anak lelaki yang sepatutnya mengambil sepenuhnya peranan menjaga ibu bapa perlu diperbetul­kan kerana Islam tidak membezakan atau memberatka­n kepada mana-mana jantina.

Cuma, anak lelaki digalakkan supaya lebih mengambil berat keadaan orang tuanya kerana faktor kelebihan mereka sebagai ketua keluarga, selain keupayaan memimpin berbanding anak perempuan khususnya yang sudah berkahwin kerana perlu mendahuluk­an suaminya.

Menyentuh soal kemampuan anak-anak menjaga keperluan ibu ayah uzur, Nurul Hidayah berkata, hal itu turut membabitka­n perbahasan panjang dalam kalangan ulama.

Pikul tanggungja­wab bersama

“Kemampuan ini membabitka­n banyak perkara bukan saja kewangan, bahkan kesihatan anak termasuk sejauh mana mereka dapat menyediaka­n keperluan lain seperti tempat tinggal.

“Jika anak tidak mampu untuk menampung diri sendiri dan keluargany­a, ia tidak dikira sebagai derhaka.

“Sebaliknya, anak lain yang mempunyai kemampuan daripada segi masa dan kewangan perlu mengambil-alih tugas berkenaan,” katanya.

Bagi situasi anak lelaki yang sudah berkeluarg­a dan pada masa sama perlu menjaga ibu bapa yang uzur, maka reda isteri juga sebaiknya diambil kira.

“Ada suami yang meminta bantuan isteri untuk menjaga ibu bapanya terutama dalam kalangan suri rumah.

“Maka, reda isteri juga amat diperlukan dalam hal ini. Suami perlu memastikan isteri tidak terlalu terbeban dengan turut sama membantu menyediaka­n keperluan ibu bapanya.

“Begitu juga, bagi anak perempuan yang bekerja, perlu ada reda dan keizinan suami untuk menjaga ibu dan ayahnya tanpa mengurangk­an hak suami,” katanya.

Nurul Hidayah turut memetik kisah Saidina Umar Khattab RA, bagaimana beliau begitu mengambil berat terhadap masyarakat di sekitarnya yang memerlukan termasuk golongan tua.

“Umar akan keluar dari rumah dan pergi dari rumah ke rumah termasuk kediaman wanita tua dan rumah orang tua buta bagi memastikan serta membantu keperluan mereka.

“Bayangkan mereka itu bukanlah ibu bapanya tetapi perhatian yang dicurahkan sangat luar biasa.

“Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bersabda: Mereka yang memuliakan ibu bapanya, kelak pada hari tuanya Allah SWT jamin akan membalasny­a dengan kemuliaan,” katanya.

Kemuliaan boleh dalam pelbagai cara termasuk dipanjangk­an umur, diberikan kesihatan dan dipermudah­kan perjalanan hidup dunia dan akhirat kelak.

 ?? FOTO HIASAN] ?? Anak lelaki dan perempuan wajib menjaga dan berbuat baik kepada ibu, bapa terutama jika mereka uzur serta tidak berupaya mengurus diri.
FOTO HIASAN] Anak lelaki dan perempuan wajib menjaga dan berbuat baik kepada ibu, bapa terutama jika mereka uzur serta tidak berupaya mengurus diri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia