Berita Harian

Video mangsa gempa ditemui hidup tak benar

Kecoh selepas ribuan netizen simpati mangsa masih selamat

-

Rakaman video yang menunjukka­n seorang wanita cedera patah kaki, terbaring dalam lumpur ditemui dua minggu selepas gempa bumi di Palu, Pulau Sulawesi, disahkan tidak benar.

Hakikatnya, rakaman itu yang tular di Indonesia dan Malaysia, menunjukka­n mangsa berkenaan ditemui pada malam hari kejadian itu.

Media Indonesia melaporkan, edaran video selama dua minit di media sosial itu menimbulka­n kekecohan, selepas ditonton ribuan netizen yang simpati atau hairan kerana mangsa kononnya terselamat, walaupun selepas dua minggu tertimbus.

Liputan 6 melaporkan, Ketua Pusat Data, Maklumat dan Hubungan Awam Agensi Bencana Kebangsaan Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho, berkata kejadian dalam video memang benar berlaku, namun wanita berkenaan bukannya ditemui selepas dua minggu.

“Tidak benar dua minggu, video itu dirakam sukarelawa­n yang menyelamat­kan ibu berkenaan serta bayinya yang hanyut, akibat pencairan tanah di Petobo pada 28 September, iaitu malam gempa bumi,” katanya.

Pihak berkuasa Indonesia menemui 2,045 mayat mangsa tsunami dan gempa bumi, yang melanda Palu serta Donggla di Sulawesi.

Kubur besar

Hampir 5,000 orang dipercayai masih tertimbus di bawah lumpur di perkampung­an di Pertobo dan Balaroa, yang diisytihar­kan sebagai kubur besar.

Sebelum ini, Kompas melaporkan rakaman video penemuan seorang wanita tertimbus lumpur, di Petobo tular di media sosial.

Dalam keterangan video itu, menyatakan mangsa ditemui selepas dua minggu bencana gempa bumi 7.4 magnitud.

Video itu dimuat naik pemilik akaun instagram @makassar_iinfo yang diperoleh daripada akaun Herianto Naim, sebelum disiarkan di kumpulan Facebook Bandar Palu (Inkop) dengan Herianto menulis: “Kuasa Tuhan, 14 hari hidup ditimbus lumpur Petobo.”

Agensi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia