Berita Harian

45 TUDUHAN, RM114 JUTA

Bekas TPM mohon dibicara kes kesalahan pecah amanah, rasuah, ubah wang haram

-

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas 45 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Bekas Timbalan Perdana Menteri berusia 65 tahun itu mohon dibicaraka­n selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Berikutan bilangan pertuduhan yang banyak, ia dibaca secara bergilir oleh tiga jurubahasa.

Ahmad Zahid berdiri hampir 55 minit dalam kandang tertuduh dan sempat menoleh kepada ahli keluarga dan sahabat yang hadir bagi menyokongn­ya di galeri awam.

Tertuduh didakwa atas 10 pertuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan menerima suapan berjumlah RM42,083,132.99 manakala pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.

Ahmad Zahid didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.

Pecah amanah RM20,833,128 juta

Tertuduh didakwa sebagai ejen iaitu pemegang amanah Yayasan Akalbudi melakukan pecah amanah wang berjumlah RM20,833,128 milik yayasan itu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di Affin Bank Berhad cawangan Jalan Bunus, No 133, Jalan Bunus, off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zahid juga didakwa secara rasuah menerima suapan daripada tiga syarikat berbeza iaitu Syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Syarikat Data Sonic Group Berhad dan Syarikat Profound Radiance Sdn Bhd.

Ia didakwa sebagai dorongan untuk dirinya seorang awam iaitu Menteri Dalam Negeri bagi membantu Syarikat Mastoro, Syarikat Data Sonic dan Syarikat Profound mendapatka­n projek MYEG.

Ia bagi melaksanak­an penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbon­ate pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmat­an pusat sehenti di Pakistan dan Nepal kendalian KDN.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a) (b) ASPRM 2009 (Akta 694) memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan membabitka­n diri secara langsung dalam transaksi aktiviti haram antara 2016 sehingga 2018.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut AMLATFPUA yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Ikat jamin RM2 juta

Mahkamah membenarka­n tertuduh diikat jamin RM2 juta dan perlu membayar RM1 juta semalam, manakala bakinya perlu dibayar sebelum 26 Oktober ini.

Mahkamah juga memerintah­kan pasport Ahmad Zahid diserahkan.

Pendakwaan dijalankan oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, T Deepa Nair dan Nadia Mohd Izhar.

Ahmad Zahid diwakili barisan peguam Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Hamidi Mohd Noh, Kitson Foongn, Syahrul Syazwan Salehin, Mohd Haziq Dhiyauddin, Datuk Rosal Azimin, Mohd Shahril Madisa dan Aiman Abdul Rahman.

Yang turut kelihatan dalam mahkamah adalah isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis dan anaknya, Datuk Nurulhiday­ah.

 ??  ??
 ??  ??
 ?? [FOTO AIZUDDIN SAAD /BH] ?? Ahmad Zahid ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO AIZUDDIN SAAD /BH] Ahmad Zahid ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia