Berita Harian

Akta Majlis Halal Negara diwujud awal tahun depan

-

Kuala Lumpur: Akta Majlis Halal Negara akan diwujudkan selewat-lewatnya awal tahun depan dengan matlamat untuk menyelaras­kan semua agensi berkaitan yang berada di bawah kerajaan bagi memastikan piawaian pensijilan halal berada di tahap terbaik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata 342 agensi berkaitan halal, termasuk bahagian kajian, pemasaran dan teknologi perlu diletakkan dan diselarask­an di bawah satu bumbung.

Perkukuh pelaksanaa­n pensijilan halal negara

“Ini penting supaya setiap arahan dan fungsi di setiap agensi lebih jelas sekali gus memperkuku­hkan pelaksanaa­n pensijilan halal negara, yang juga antara terbaik di dunia,” katanya kepada media selepas merasmikan pelancaran dokumentar­i Hidangan Laluan Sutera, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Kedutaan Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, H.E Bai Tian, Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh serta Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealt­h, David Teo.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, pihaknya akan bekerjasam­a dengan negara lain dalam memperting­katkan pengetahua­n dan kemahiran berkaitan pengurusan ibadah haji dan wakaf.

“Banyak negara berminat untuk belajar bagaimana Malaysia menguruska­n jemaah haji dan kita terbuka berkongsi pengalaman dan kemahiran.

“Pada masa sama, kita akan belajar dari negara luar mengenai pengurusan wakaf, terutama Singapura cara pengendali­an wakaf mereka antara terbaik sehingga masjid di sana didirikan melalui dana wakaf dan bukan wang kerajaan,” katanya.

Hidangan Laluan Sutera yang dialih suara ke bahasa Melayu itu akan disiarkan setiap Rabu sebanyak lima episod bermula hari ini, jam 11 malam di saluran Astro Naura.

Kita akan belajar dari negara luar mengenai pengurusan wakaf, terutama Singapura cara pengendali­an wakaf mereka antara terbaik sehingga masjid di sana didirikan melalui dana wakaf dan bukan wang kerajaan”

Fuziah Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia