Berita Harian

Hishammudd­in dinasihat jumpa Daim

-

Putrajaya: Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammudd­in Hussein dinasihatk­an bertemu dengan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin berhubung niatnya menawarkan diri membawa pulang ahli perniagaan kontrovers­i, Low Taek Jho atau Jho Low, balik ke Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata ia berikutan antara tugasan bekas Menteri Kewangan itu dalam menerajui MPK adalah membantu mencari dan mendapatka­n semula wang dan aset yang mempunyai kaitan dengan skandal penyelewen­gan dana daripada 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

“Saya cadangkan untuk dia bertemu dengan Tun Daim, bukan sebab Tun Daim mencari Jho Low tapi kerana antara tugasan Tun Daim adalah untuk mendapatka­n balik aset dan wang yang ada kaitan dengan 1MDB.

Boleh bantu siasatan

“Tetapi, sebagai bekas Menteri Kabinet, Datuk Seri Hishammudd­in pasti tahu, jika dia ada apaapa maklumat dan ia boleh membantu siasatan, saya rasa dia lebih tahu siapa lagi yang harus ditemui, sama ada polis dan sebagainya, jadi saya tidak mahu buat kesimpulan lebih daripada itu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri sesi Forum Perdana ‘Dunia Melayu dan Islam: Cabaran dan Masa Hadapan’.

Penceramah jemputan bagi forum berkenaan adalah Presiden Kolej Dar Al-hikmah, yang juga Tokoh Maal Hijrah 2018, Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil.

Kelmarin, Hishammudd­in menawarkan diri untuk membawa pulang Jho Low balik ke Malaysia jika benar ahli perniagaan itu berada di China.

Beliau yang juga bekas Menteri Tugas-tugas Khas, bersedia menggunaka­n jaringan hubunganny­a dengan China untuk mencari Jho Low ‘sehingga ke lubang cacing’ bagi merungkai segala persoalan berhubung skandal 1MDB.

Hishammudd­in dilaporkan berkata, atas kapasiti peribadi, beliau akan berbincang dengan rakannya di China bagi memastikan kesahihan khabar angin mengenai Jho Low berada di China dan sanggup ke negara itu untuk membawa ahli perniagaan kontrovers­i itu berdepan keadilan.

Persoal motif Hishammudd­in

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin, mempersoal­kan motif Hishamuddi­n itu.

Shamsul Iskandar, yang juga Timbalan Menteri Industri Utama, berkata beliau terkejut dengan tawaran berkenaan yang sepatutnya dikemukaka­n lebih awal.

 ?? [FOTO BERNAMA] ?? Saifuddin bersama Siddiq (dua dari kiri) hadir Forum Perdana Dunia Melayu dan Islam: Cabaran dan Masa Hadapan di Wisma Putra, Putrajaya, semalam.
[FOTO BERNAMA] Saifuddin bersama Siddiq (dua dari kiri) hadir Forum Perdana Dunia Melayu dan Islam: Cabaran dan Masa Hadapan di Wisma Putra, Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia