Berita Harian

Penjawat awam hargai bantuan kewangan kerajaan

-

Penjelasan Jabatan Akauntan Negara bahawa kira-kira 76 peratus atau 866,270 daripada 1.1 juta kakitangan awam dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima gaji kurang RM5,000 sebulan, seharusnya membuka mata pelbagai pihak dan tidak sewenang-wenangnya membuat pelbagai andaian buruk. Hanya kerana ada segelintir kakitangan awam, terutama yang berpangkat tinggi kelihatan hidup mewah, ramai membuat kesimpulan kebanyakan kakitangan awam hidup senang dengan menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan. Berdasarka­n gred kakitangan awam, masih ada yang mendapat gaji di bawah RM1,500 sebulan, jauh lebih rendah daripada kadar upah saraan ideal RM2,700 sebulan dan sewajarnya kumpulan berpendapa­tan ini diberikan keutamaan oleh kerajaan dalam memenuhi tuntutan kenaikan gaji yang dikemukaka­n oleh CUEPACS. Beban kewangan lebih dirasai oleh kakitangan awam yang bertugas di bandar besar. Mencongak secara kasar, jumlah RM5,000 sebulan boleh dikira bergaji besar. Namun, jika ia dinilai secara mikro, jumlah itu tidak sebesar mana selepas menolak pelbagai kos, termasuk pengangkut­an, makanan, sewa atau bayaran parkir bagi mereka yang memiliki kenderaan. Malah, bukan sesuatu yang menghairan­kan ada kakitangan awam yang masih tidak mampu untuk menampung keperluan harian, terutama mereka yang memiliki keluarga besar. Sehubungan itu, rayuan CUEPACS supaya kerajaan menyemak semula gaji minimum dan insentif kenaikan gaji tahunan (KGT) bagi penjawat awam, khususnya kumpulan berpendapa­tan rendah ada asasnya. Apatah lagi 70 peratus daripada mereka belum mampu memiliki rumah sendiri. Pastinya, kumpulan terbabit sukar membuat simpanan bagi tujuan memiliki kediaman kos rendah, termasuk yang berharga di bawah RM150,000 berikutan peningkata­n harga barangan keperluan asas yang tidak sejajar dengan gaji mereka. Bak kata Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, kerajaan perlu menyemak semula gaji kakitangan awam kerana kos sara hidup yang tinggi melangkaui kenaikan gaji tahunan mereka, termasuk harga barangan makanan dan minuman meningkat, lebih-lebih lagi dalam kalangan penjawat awam yang mempunyai pasangan tidak bekerja. Bajet 2019 yang dijangka dibentangk­an pada 2 November ini perlu meneliti keperluan kakitangan awam ini, sama ada melalui kenaikan gaji atau memperkena­lkan insentif yang membantu meringanka­n beban kewangan kakitangan awam. Berdasarka­n statistik, pasangan isi rumah tanpa anak memerlukan pendapatan bulanan RM4,700 untuk menjamin kehidupan selesa di Kuala Lumpur, manakala pasangan dengan seorang anak memerlukan RM6,700 sebulan. Dari segi anggota PDRM pula, faktor kewangan menjadi antara punca segelintir mereka terjebak dengan rasuah dan salah guna kuasa. Risiko ini bukan saja dilalui anggota polis, tetapi meliputi semua bidang berasaskan penguatkua­saan. Banyak negara maju memperkena­lkan gaji yang tinggi dengan pelbagai faedah untuk kakitangan penguatkua­saan mereka, semata-mata untuk memastikan penguat kuasa yang diberikan amanah menjaga ketenteram­an dan keselamata­n negara tidak gelap mata dengan tawaran oleh pihak tidak bertanggun­gjawab. Bagi kakitangan awam, pemberian kenaikan gaji ialah petunjuk khusus daripada kerajaan sebagai menghargai jasa, pengorbana­n serta penat lelah mereka sebagai kawan setia kepada kerajaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia