Berita Harian

Tarik rayuan semakan kehakiman 1MDB

-

Kuala Lumpur: Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Zahid Md Arip, menarik balik rayuan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Ketua Audit Negara mengklasif­ikasikan laporan audit 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) sebagai rahsia rasmi.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Muhammad Zahid berkata, anak guam beliau menarik rayuan itu kerana tindakan berkenaan kini sudah bersifat akademik.

Beliau berkata, ia berikutan Pusat sudah mengeluark­an Laporan Audit Negara 1MDB daripada diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada 15 Mei lalu.

Katanya, pihak berkuasa berkaitan juga sedang mengambil langkah perlu terhadap pihak tertentu berhubung laporan 1MDB.

“Justeru, tujuan Muhammad Zahid mengambil tindakan itu sebelum ini sudah tercapai,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Prosiding semalam di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Datuk Zaleha Yusof dan Datuk Yaacob Md Sam.

Pada prosiding itu, Peguam Kanan Persekutua­n, Shamsul Bolhasan, bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia dan dua yang lain selaku responden.

Pada 24 Januari lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Muhammad Zahid bagi mencabar tindakan mengklasif­ikasikan laporan audit 1MDB sebagai rahsia rasmi.

Mereka memfailkan permohonan itu secara berasingan dengan menamakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam permohonan­nya, Mohamed Azmin menuntut perisytiha­ran bahawa tindakan Najib adalah suatu konflik kepentinga­n apabila mengarahka­n Ambrin mengklasif­ikasikan laporan ketua audit itu sebagai ‘Rahsia Rasmi’ di bawah peruntukan Seksyen 2B Akta Rahsia Rasmi 1972.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia