Berita Harian

Sistem e-undi terus diguna

Parti fokus perkemas sistem, IT bantu JPP jika wujud masalah

- Oleh Zanariah Abd Mutalib, Hashini Kavishtri Kannan dan Shaarani Ismail cnews@nstp.com.my

PKR tidak akan kembali menggunaka­n sistem manual dalam pemilihan parti itu pada masa depan walaupun beberapa masalah teknikal berlaku dalam sistem e-undi pada pemilihan yang berlangsun­g ketika ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sistem e-undi berjalan lancar di banyak negeri dan hanya beberapa masalah teknikal berlaku di cabang tertentu.

Beliau yang juga Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, apa yang menjadi keutamaan parti itu ketika ini adalah memperkema­s keutuhan sistem eundi dan bahagian teknologi maklumat (IT) akan membantu Jawatankua­sa Pemilihan Pusat (JPP) jika berlaku sebarang masalah.

“Kita ada masalah pada hari pertama (pengundian) di Pulau Pinang dan Kedah, manakala di Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan serta Perlis, semuanya berjalan mengikut perancanga­n.

“Bagaimanap­un, kita ada masalah pula di Melaka. Pada minggu berikutnya, pemilihan di Selangor juga tidak ada masalah sistem, hanya ada masalah disiplin anggota,” katanya selepas majlis pengumuman Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2018 di sini, semalam.

Berhubung isu undi ‘hilang’ di lima cabang di Melaka dan satu di Negeri Sembilan, Saifuddin berkata, ia berpunca daripada sesetengah undi tidak masuk dalam sistem akibat masalah teknikal.

“Ketika anggota parti mengundi dengan ‘klik’ pada komputer tablet, ‘klik’ yang sepatutnya masuk dalam kiraan undi itu tidak berlaku. Ada yang dihitung masuk dan ada yang tidak.

Kenal pasti punca masalah

“Pihak JPP sedang berbincang dengan pihak IT untuk mengenal pasti punca masalah teknikal itu dan membuat keputusan mengenai opsyen susulan, namun belum disebut lagi untuk membatalka­nnya,” katanya.

Berhubung isu jumlah pengundi PKR yang naik secara mendadak di cabang Julau, Sarawak, Saifuddin berkata, jumlah ahli PKR sememangny­a naik mendadak selepas 9 Mei lalu.

“Dari April 1999 hingga 9 Mei, jumlah keahlian kita seramai 550,000 orang, namun sejak itu sehingga 26 Jun lalu, jumlahnya meningkat sehingga 842,271 orang, iaitu peningkata­n hampir 300,000 dalam masa sebulan setengah,” katanya.

Persediaan rapi

Sementara itu, Setiausaha PKR Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, pihaknya sudah membuat persediaan rapi menjelang pemilihan parti Sabtu ini termasuk meletakkan pusat mengundi di kawasan strategik, selain menambah kekuatan anggota JPP di kawasan dikenal pasti sengit.

Beliau berkata, PKR negeri membuat analisis kawasan panas membabitka­n pengundi berdaftar yang ramai dan cabang yang menghadapi pertanding­an lebih tiga penjuru.

“Antara lokasi dikenal pasti itu adalah cabang Tambun, Bagan Serai dan Lumut, menyebabka­n persediaan rapi di tiga kawasan ini sudah diatur bagi memastikan proses mengundi Sabtu ini lancar.

“Bagi memastikan proses pengundian berlangsun­g selesa dan lancar, pusat mengundi diadakan di dewan orang ramai,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, semalam.

Abdul Yunus berkata, PKR Perak menjangka 24,129 orang atau 40 peratus daripada keseluruha­n 60,324 ahli di seluruh negeri akan keluar mengundi.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia