Berita Harian

Henry, Monaco berdepan ujian getir

-

Bruges (Belgium): Selepas dikritik hebat susulan kekalahan memalukan kepada Strasbourg 1-2 dalam saingan Ligue 1 Perancis Sabtu lalu, Thierry Henry berdepan satu lagi cabaran getir.

Pengurus Monaco itu membawa pasukannya berdepan wakil Belgium, Club Brugge pada kempen Liga Juara-juara Eropah, awal pagi esok, waktu Malaysia.

Thierry Henry yang baru sahaja mengambil alih tugas selaku pengurus minggu lalu, gagal membawa impak positif dalam penampilan pertama selaku pengurus apabila dicemuh, terutama oleh media Perancis.

Ternyata kekalahan mengejutka­n itu memberi tamparan hebat buat penyokong kelab itu yang turut bimbang dengan prestasi tidak menentu pasukan, biarpun dua musim lalu berjaya menjuarai Ligue 1 untuk menamatkan dominasi Paris Sains Germain (PSG).

Bagaimanap­un, rentak itu gagal diteruskan musim lalu apabila Monaco sekadar berpuas hati selaku naib juara di belakang PSG.

“Saya sedar agak sukar untuk meraih sesuatu selepas hanya dua hari memulakan tugas di Monaco,” katanya.

Perbaiki prestasi pasukan

Henry meminta semua pihak terbabit agar bertenang dan memberi sepenuh kepercayaa­n kepadanya untuk memperbaik­i prestasi pasukan.

Malah, ini pengalaman pertamanya selaku pengurus selepas hampir dua tahun bertindak sebagai penolong jurulatih Belgium di bawah kendalian Roberto Martinez.

Kemenangan ke atas Brugge cukup penting bagi menghidupk­an peluang mereka dalam Kumpulan A selepas gagal meraih sebarang mata dalam dua aksi sebelum ini apabila tewas kepada Atletico Madrid dan Borussia Dortmund.

“Kami perlu mencari keputusan positif. Kami akan bermula dari kosong dan cuba perbaiki dari satu tahap ke tahap yang lain.

“Saya percaya seluruh barisan pemain turut mahukan kejayaan dan aksi bertemu Brugge cukup penting. Hanya kemenangan akan membuka jalan buat pasukan,” kata bekas pemain handalan Arsenal dan Perancis itu.

 ??  ?? Thierry Henry, Pengurus Monaco
Thierry Henry, Pengurus Monaco

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia