Berita Harian

Cheng Hoe pertahan pilihan

Pengendali skuad kebangsaan sifatkan senarai terbaik

- Oleh Syafiq Aznan

Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mempertaha­nkan pemilihan 26 pemain yang membawa cabaran pada saingan Piala Persekutua­n Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018 bermula 8 November ini.

Katanya, semua pemain dipilih untuk aksi persiapan terakhir bertemu Maldives di Bukit Jalil pada 3 November ini sebelum mengharung­i kejohanan itu menepati cita rasanya.

“Setiap jurulatih ada perancanga­n tersendiri. Begitu juga saya apabila memanggil 26 pemain untuk persediaan kerana saya sudah ada bayangan pemain untuk ke Piala AFF 2018.

“Saya kira mereka pemain terbaik bagi setiap posisi yang diperlukan dan sesuai dengan taktikal serta corak permainan yang akan saya terapkan. Ini bukan bermakna pemain yang tidak terpilih itu tidak bagus,

“Jadi saya harap mereka akan terus bekerja keras kerana saya sedia memberi peluang kepada mereka untuk menyertai tugasan antarabang­sa selepas ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Cheng Hoe berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kehilangan beberapa pemain yang menyerlah sepanjang musim ini namun tidak dipanggil menyertai skuad Piala AFF.

Penyokong selar Cheng Hoe

Antaranya pertahanan Pahang, Muslim Ahmad, selain Faiz Nasir dan Ashari Shamsudin, kedua-duanya dari Terengganu FC (TFC).

Malah, sekelompok penyokong dilihat menyelar Cheng Hoe kerana langsung tidak memanggil pemain TFC meskipun mereka berjaya layak ke final Piala Malaysia musim ini.

Mengulas lanjut persediaan pasukan menjelang kejohanan itu, Cheng Hoe mengakui keserasian dan persefaham­an antara pemain masih menjadi aspek penting yang perlu diberikan perhatian.

“Aksi bertemu Maldives adalah perlawanan ujian terakhir buat saya dan pemain. Jadi saya harap dapat menemui gandingan terbaik sebelum ke Piala AFF.”

Kelmarin, Cheng Hoe memanggil 26 pemain bagi latihan pusat skuad Harimau Malaya menjelang pertemuan dengan Maldives yang menyaksika­n hanya 18 pemain daripada skuad ketika menentang Kyrgyzstan dikekalkan.

Sebagai ganti, beliau memanggil lapan pemain baharu iaitu enam dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan setiap seorang dari Perak dan Pahang.

Senarai akhir 23 pemain hanya akan diumumkan Cheng Hoe selepas perlawanan menentang Maldives, sekali gus menyaksika­n tiga pemain digugurkan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia