Berita Harian

Khalid harap impian 2007 tercapai

-

Ipoh: Khalid Jamlus menasihatk­an pemain Perak supaya sentiasa fokus ketika berada di atas padang bagi memastikan dapat menjinakka­n Terengganu FC pada aksi final Piala Malaysia, Sabtu ini.

Bekas penyerang Perak itu meletakkan harapan tinggi untuk melihat skuad The Bos Gaurus yang pernah diwakiliny­a itu membawa semula piala paling berprestij itu ke Perak.

Untuk rekod, Khalid adalah penjaring gol pertama pasukan itu pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2000 menentang Negeri Sembilan sebelum rakan sepasukan V Saravanan mencipta jaringan kedua, sekali gus muncul juara dengan kemenangan 2-0.

Dia sekali lagi berada dalam kesebelasa­n utama berganding­an dengan pemain import, Keita Mandjou pada perlawanan akhir 2007, namun tewas kepada Kedah 0-3.

Khalid berkata, selepas 18 tahun, sudah pasti dia mahu melihat piala kebanggaan itu kembali ke Perak, namun bukan mudah kerana Terengganu dilihat turut memiliki kekuatan seimbang.

Beri komitmen penuh

“Harapan saya sudah tentu nak lihat Perak berjaya menjulang Piala Malaysia dan membawanya pulang seperti 18 tahun lalu.

“Namun, perlawanan akhir bukannya mudah, komitmen kena berikan seratus peratus. Sedikit silap memang habis, namun saya harap pemain Perak akan memberikan komitmen penuh bagi memastikan Piala Malaysia dapat dibawa pulang.

“Terengganu mempunyai keupayaan tersendiri di barisan pertahanan, tengah dan serangan. Jadi perlu sentiasa berwaspada bagi memastikan tiada ruang kosong diberikan kepada pasukan itu,” katanya ketika dihubungi NSTP semalam.

Khalid yang kini menjadi Penolong Jurulatih PDRM FC berkata, pemain juga tidak boleh alpa selepas berjaya menjaringk­an gol kerana dalam perlawanan akhir setiap minit amat berharga.

Katanya, dia akan mendoakan kejayaan pasukan itu dan berharap pemain akan bermain bersungguh-sungguh bagi memastikan harapan ribuan penyokong pasukan yang mahu melihat piala itu dibawa pulang dapat direalisas­ikan.

Harapan saya sudah tentu nak lihat Perak berjaya menjulang Piala Malaysia” Khalid Jamlus, Bekas penyerang Perak

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia