Berita Harian

Hakim tinjau lokasi tragedi nahas ragut empat nyawa

Lima daripada 20 saksi sudah dipanggil beri keterangan

- Oleh Abdul Rahemang Taiming

Hakim Mahkamah Sesyen, Awang Kerisnada Awang Mahmud yang mengendali­kan kes wanita memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabka­n kematian empat lelaki Julai lalu, meninjau lokasi kemalangan, malam kelmarin.

Beliau yang diiringi jurubahasa serta kakitangan mahkamah tiba di lokasi kejadian di Pusat Komersil BDC (1Arena), Jalan Chong Thien Vun di sini, jam 8 malam dan berada di situ kirakira 30 minit.

Yang turut hadir, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Muhammad Fitri Wan Azizan; tertuduh, Olivia Chong Oi Yun, 34, bersama peguam Abdul Ghani Zelika dan pegawai penyiasat bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Difahamkan, pihak pendakwa sudah memanggil lima daripada 20 saksi yang dijangka akan memberi keterangan pada perbicaraa­n yang sedang berlangsun­g.

Tahap alkohol dalam darah tinggi

Mengikut kertas pertuduhan, Olivia yang bekerja sebagai eksekutif pengurusan di sebuah syarikat swasta di sini, didapati banyak alkohol dalam badan sehingga tahap alkohol dalam darah melebihi had ditetapkan dan menyebabka­n kematian kepada empat individu.

Mereka yang maut dalam kejadian pada 8 Julai lalu itu ialah Hiew Nyuk Wei, 30; Clawence Wong Vun Kit, 21; Dicson Lim Kien Shing, 16; dan Chong Wei Chan, 21, selain mengakibat­kan, Chin Guan Xiong, 21, patah kaki.

Tertuduh yang juga bekas calon sebuah parti politik tempatan di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lima tahun lalu, dituduh mengikut Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkut­an Jalan 1987 yang sabit kesalahan membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara sehingga 10 tahun.

 ?? [ FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING / BH ] ?? Awang Kerisnada meninjau lokasi kemalangan di Pusat Komersil BDC (1Arena) di Jalan Chong Thien Vun, Tawau, malam kelmarin.
[ FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING / BH ] Awang Kerisnada meninjau lokasi kemalangan di Pusat Komersil BDC (1Arena) di Jalan Chong Thien Vun, Tawau, malam kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia