Berita Harian

Penjara setahun akibat curi syampu, sabun

-

Kota Kinabalu: Seorang lelaki merayu hukuman diringanka­n sebelum dijatuhi hukuman 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam, selepas mengaku bersalah mencuri syampu dan sabun pencuci bernilai RM51.05, pada 12 Ogos lalu.

Tertuduh, Haffizan Hanafiah, 28, ketika sesi rayuan, berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama, selain merayu hukuman dipendekka­n kerana dia perlu menjaga ahli keluargany­a.

Bagaimanap­un, ketika menjatuhka­n hukuman itu, Majistret Cindy Mc Jude Balitus mengarahka­n tertuduh yang tidak diwakili peguam supaya menjalani hukuman bermula tarikh ditangkap.

Haffizan mengaku bersalah mencuri dua barangan, iaitu dua botol syampu jenis Clear Man dan sebotol sabun pencuci jenis Dettol bernilai RM51.05 di CKS Grocer, Warisan Square di sini, pada jam 4.30 petang, 12 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan yang memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dua mengaku curi gula-gula

Sementara itu, dalam mahkamah sama, dua lelaki dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM100 selepas mengaku bersalah mencuri satu kilogram gula-gula jenis Cocoland Lot 100 Mango Gummy.

Cindy turut mengarah kedua-dua tertuduh menjalani tambahan sebulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Raimin Lahiludin dan Moh Fitri Abdul, masing-masing berusia 38 tahun didapati mencuri gula-gula berkenaan di sebuah kedai serbaneka 24 jam di kawasan Segama di sini, jam 8 pagi, 16 Oktober lalu.

Kedua-dua tertuduh yang mengaku salah didakwa mengikut Seksyen 22(1) Ordinan Kesalahan-kesalahan Kecil (Bab 80) Negeri Sabah yang memperuntu­kkan denda tidak lebih RM100 dan penjara tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia