Berita Harian

Derma RM2.6 bilion tiada kaitan Kerajaan Saudi

Sedia beri kerjasama dalam siasatan kes 1MDB

-

Menteri Luar Arab Saudi, Adel Ahmed Al-jubeir menyatakan derma RM2.6 bilion yang didakwa diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiada kena-mengena dengan Kerajaan Arab Saudi.

Perkara itu dimaklumka­n Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah selepas menerima kunjungan Adel di Wisma Putra di sini, semalam.

Dalam pertemuan yang turut menyentuh mengenai isu 1Malaysia Developmen­t Bhd (1MDB) serta derma RM2.6 bilion, Saifuddin berkata: “Beliau (Adel) menyatakan bahawa (derma RM2.6 bilion) tidak ada kena-mengena dengan Kerajaan Arab Saudi.”

Menurutnya, ketika mereka bertemu di Perhimpuna­n Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Ke-73 di New York pada bulan lalu, Adel memberitah­unya bahawa Kerajaan Arab Saudi akan bekerjasam­a dalam siasatan 1MDB dan tiada kaitan dengan derma RM2.6 bilion.

“Hari ini diulangi sekali lagi bahawa itu tiada kaitan dengan Arab Saudi,” katanya selepas turut hadir pada kunjungan hormat Adel terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Perdana Putra di sini.

Pada 2016 ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di Istanbul, Turki, Adel dilaporkan berkata, sumbangan derma kepada Najib datang dari Arab Saudi.

“Kami sedar mengenai derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapk­an apaapa balasan dan kami juga sedar bahawa Peguam Negara Malaysia sudah menjalanka­n siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku.

“Justeru, setahu kami, isu itu ditutup,” kata Adel seperti dilaporkan pada 2016.

Pada Januari 2016, Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sudah membersihk­an Najib daripada sebarang salah laku berkaitan siasatan terhadap SRC Internatio­nal Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang dikatakan dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

KSCIP tak akan dilaksana

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, dalam pertemuan mereka itu, beliau turut menyampaik­an keputusan Kabinet bahawa Malaysia tidak akan menganggot­ai gabungan tentera pimpinan Arab Saudi terhadap Yaman.

“Pada masa ini, semua askar kita sudah balik dan kita sudah tidak terbabit,” katanya.

Berhubung cadangan menutup Pusat Keamanan Antarabang­sa Raja Salman (KSCIP), Saifuddin berkata, perkara itu turut dibincangk­an.

“Idea itu pun belum dilaksanak­an dan kita tidak akan laksanakan,” katanya.

Mengenai operasi usaha sama PETRONAS dan Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco), Saifuddin berkata, perkara itu akan dibincangk­an kedua-dua syarikat.

“Kedua-dua pihak mahu kerjasama itu dipertingk­atkan. Yang paling utama, jumlah dagangan antara kedua-dua negara akan dipertingk­atkan,” katanya.

Ditanya berhubung beberapa keputusan kerajaan yang membabitka­n kerajaan Arab Saudi, Saifuddin berkata, hubungan keduadua negara kini berada pada peringkat sangat baik dan mesra.

“Kita mahu tingkatkan lagi kerjasama ini dan persefaham­an ini harus dibuat mengikut saluran biasa. Ini bermakna perbincang­an menteri luar dan menteri luar sahaja,” katanya.

Beliau (Adel) menyatakan bahawa (derma RM2.6 bilion) tidak ada kena-mengena dengan Kerajaan Arab Saudi. Hari ini diulangi sekali lagi bahawa itu tiada kaitan dengan Arab Saudi” Saifuddin Abdullah, Menteri Luar

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia