Berita Harian

‘Loket berlian merah jambu hadiah putera raja UAE’

-

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak menegaskan loket berlian merah jambu 22 karat yang dikatakan dibeli menggunaka­n dana 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) bernilai AS$27 juta adalah hadiah daripada putera raja dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bekas Perdana Menteri berkata, putera raja itu adalah Sheikh Mansour, saudara Putera Mahkota Sheikh Mohammed Zayed, yang juga Pengerusi Internatio­nal Petroleum Investment Company (IPIC).

“Kita tahu Jho Low (Jho Taek Low) rakan rapat Sheikh Mansour dan cincin itu adalah hadiah daripada Sheikh Mansour,” katanya dalam satu wawancara bersama Aljazeera 101 Timur, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai wang AS$27 juta digunakan daripada dana 1MDB membeli loket berlian itu untuk isterinya.

Hadiah daripada Sheikh Mansour

Ditanya mengenai pertemuan Datin Seri Rosmah dengan Jho Low dan tukang emas serta Rosmah maklum ia hadiah daripada Jho Low, Najib sekali lagi menegaskan loket itu adalah hadiah daripada Sheikh Mansour.

“Yang kami tahu ia hadiah daripada Sheikh Mansour. Siapa tahu dari mana wang atau siapa yang membayarny­a. Kami pun tidak tahu nilai hadiah itu,” katanya.

Menjawab soalan mengenai anak tirinya, Riza Aziz, membiayai filem Wolf of Wall Street dan membeli hartanah mewah secara besar-besaran yang didakwa DOJ menerusi dana 1MDB, Najib berkata, Riza seorang penggemar filem dan akan berusaha menjadikan­nya (kisah itu) sebagai filem.

“Putera Mahkota Mohammed Zayed memberitah­u beliau di hadapan saya bahawa dia akan melabur dalam filemnya. Kami mengandaik­an sebarang pelaburan dari Abu Dhabi untuk membiayai filem itu akan menjadi pinjaman.

“Anak tiri saya bersedia untuk membayar kembali setiap sen yang diberi kepadanya,” katanya.

Ditanya pandangan beliau jika masyarakat umum masih tidak mempercaya­i penjelasan­nya, Najib berkata, di sebalik kejujuran, ada kebenaran.

“Maksud saya, tiada apa yang boleh saya lakukan jika orang tidak percaya, tetapi itulah kebenaran.

“Sepanjang saya menjadi Perdana Menteri, negara ini membangun dan mengecapi pelbagai kejayaan,” katanya.

Yang kami tahu ia hadiah daripada Sheikh Mansour. Siapa tahu dari mana wang atau siapa yang membayarny­a. Kami pun tidak tahu nilai hadiah itu” Najib Razak, Bekas Perdana Menteri

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia