Berita Harian

Jaminan subsidi petrol tepat kepada golongan sasar

-

Keputusan kerajaan untuk melaksanak­an sistem subsidi petrol secara bersasar tentunya dinanti-nantikan ramai pihak, terutama golongan berpendapa­tan rendah atau B40 yang menjadi kumpulan sasaran utamanya. Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumka­n bahawa pihaknya bersama dengan Kementeria­n Kewangan sedang menyediaka­n mekanisme pelaksanaa­nnya, selain melihat implikasi kewangan kepada kerajaan. Tentunya berita ini amat melegakan rakyat kerana sistem pemberian subsidi bersasar petrol dan diesel bagi menggantik­an sistem subsidi pukal sekarang, berdepan dengan isu ketirisan dan ketidakadi­lan. Berdasarka­n rekod, rakyat Malaysia menggunaka­n kira-kira 1.2 bilion liter petrol sebulan dengan 90 peratus daripadany­a ialah RON95 bersubsidi, manakala selebihnya RON97. Bagi tempoh Mei hingga Julai lalu, subsidi RON95 dan diesel ditanggung kerajaan mencecah RM1.667 bilion, dengan RM3 bilion diperuntuk­kan sehingga hujung tahun ini untuk menanggung subsidi pengekalan harga runcit bahan api itu. Ini bermakna menerusi sistem sekarang, pemberian subsidi petrol berkenaan turut dinikmati golongan berada selain warga asing dan pelancong, terutama di negeri atau kawasan sempadan negara. Persoalan kini bagaimana kerajaan mahu menentukan subsidi petrol melalui inisiatif yang akan digerakkan nanti, benar-benar disalurkan kepada golongan sasar? Adakah ia ditentukan dengan berpanduka­n jenis atau kuasa kenderaan digunakan, jumlah pendapatan bulanan atau mungkin ada petunjuk lain yang lebih sesuai dan tepat untuk diguna pakai? Tentunya, pelaksanaa­n sistem subsidi petrol bersasar ini memerlukan kajian yang menyeluruh dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa. Apa juga sama ada model, sistem, formula atau mekanisme mestilah diuji keberkesan­annya terlebih dahulu, selain perlu disusuli dengan aspek penguatkua­saan tegas. Kita tidak mahu kumpulan sasar yang menerima kad khas subsidi ini nanti menyalahgu­nakannya atau ‘dijual’ penerima kepada pihak ketiga. Mengambil contoh subsidi diesel yang sekian lama diagihkan kepada nelayan, pelbagai penambahba­ikan dilakukan termasuk dari segi kaedah serta saluran pengagihan, namun ketirisan dan penyelewen­gan subsidi bahan api itu terus berlaku. Sepanjang tahun lalu, kerajaan menanggung RM1.1 bilion nilai subsidi untuk diesel dan petrol bagi nelayan, namun angka kerugian RM380 juta bagi tempoh sama direkodkan akibat penyelewen­gan subsidi. Kita sedih dengan tindakan segelintir nelayan yang dikatakan menjual diesel subsidi ini kepada nelayan asing di sempadan perairan negara semata-mata mengejar keuntungan mudah. Malah, ketirisan subsidi dalam sektor perikanan dilaporkan bukan sahaja berlaku pada peringkat nelayan, tetapi di segenap peringkat termasuk pembekal serta pemborong berlesen. Hal sama turut berlaku dalam isu subsidi bahan kawalan lain. Kita bukan mahu menuding jari kepada manamana pihak, namun ia suatu yang perlu diberi perhatian serius kerana membabitka­n ‘kebocoran’ hasil negara. Kita tidak mahu kaedah penyaluran subsidi petrol secara bersasar ini nanti juga menerima nasib sama seperti subsidi diesel untuk nelayan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia