Berita Harian

Tindakan elak jangkitan wabak beguk

Kawalan, pencegahan termasuk pengasinga­n pelajar sudah dibuat

- Oleh Zanariah Abd Mutalib

Tindakan penutupan dua sekolah di Selangor berikutan jangkitan wabak beguk adalah sebagai satu cara memutuskan rangkaian jangkitan wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tindakan kawalan dan pencegahan sudah dijalankan, termasuk pengasinga­n pelajar dan pendidikan kesihatan sejak kluster itu dilaporkan di sekolah di Kajang pada 14 Ogos lalu.

“Bagaimanap­un, masih berlaku penularan jangkitan akibat pergaulan pelajar yang berterusan, walaupun arahan pengasinga­n kes sudah diberikan.

Bendung penularan

“Penutupan sekolah dari 23 Oktober hingga 9 November ini adalah sebagai salah satu langkah memutuskan rangkaian jangkitan beguk,” katanya, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, laporan kejadian sama di sebuah sekolah di Gombak pula diterima pada 16 Oktober lalu dan sekolah ditutup dari 24 Oktober hingga 6 November ini untuk tujuan sama.

“Semua pelajar yang terbabit dari kedua-dua sekolah ini berada dalam keadaan stabil dan sudah mendapatka­n rawatan,” katanya.

Kelmarin, Kementeria­n Pendidikan memaklumka­n dua buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Selangor diarah tutup oleh Kementeria­n Kesihatan berikutan jangkitan wabak beguk yang semakin meningkat di sekolah berkenaan.

Notis Perintah Tutup Premis dikeluarka­n kepada Sekolah Menengah Agama Persekutua­n (SMAP) Kajang dan SBP Integrasi Gombak di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Katanya, seramai 36 murid dari SMAP Kajang diberi rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Chua, Kajang sejak Oktober lalu.

Selain itu, pihak sekolah itu mengarahka­n murid Tingkatan 1, 2 dan 3 untuk dibawa pulang oleh ibu bapa mulai 12 Oktober sehingga 26 Oktober, manakala murid Tingkatan 4 pada 12 Oktober sehingga 16 Oktober 2018 bagi tujuan kuarantin.

Di SBP Integrasi Gombak, seramai 15 murid dirujuk ke Klinik Kesihatan Gombak, Selangor pada bulan ini yang membawa kepada tiga kes dan terakhir pada 23 Oktober.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia