Berita Harian

Tiada tangkapan baharu

Laporan bedah siasat kedua dalam proses dilengkapk­an sebelum diserah kepada polis

- Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Tiada sebarang penahanan baharu akan dibuat sehingga laporan bedah siasat kedua bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan diserahkan kepada polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata laporan bedah siasat kedua itu masih dalam proses dilengkapk­an pasukan forensik dan patologi.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat untuk siasatan lanjut selepas beberapa anggota keluarga Nazrin ditahan sebelum ini untuk membantu siasatan.

“Saya tidak dapat untuk komen lebih lanjut berhubung kes ini kerana polis belum menerima laporan bedah siasat kedua.

Tunggu laporan lengkap

“Sebarang tindakan lanjut akan dibuat selepas laporan berkenaan diperoleh,” katanya selepas mengadakan Pemeriksaa­n Balai Polis Perintah Tetap Ketua Polis Negara bagi Kontinjen Sarawak di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, di sini, semalam.

NSTP sebelum ini melaporkan, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober lalu membenarka­n polis menggali semula kubur Allahyarha­m Nazrin yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara, Jun lalu.

Hasil semakan di mahkamah mendapati permohonan itu dibuat polis bagi menjalanka­n bedah siasat kali kedua selepas permohonan itu dibuat pegawai penyiasat kes berkenaan dalam kamar Majistret Nor Ariffin Hisham.

Sebelum ini, isteri Nazrin, Samirah Muzaffar dan bekas suaminya yang masing-masing berusia 43 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes diklasifik­asikan polis sebagai kes bunuh itu.

Turut direman, anak tiri Nazrin berusia 14 dan 16 tahun, selain suami isteri yang juga adik ipar kepada Nazrin bagi membantu siasatan.

Pada 3 Ogos lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengklasif­ikasikan kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh.

Nazrin dilaporkan terperangk­ap dalam kebakaran di bilik tidur rumah teres dua tingkat beliau di Mutiara Damansara dan berkemungk­inan meninggal dunia akibat terhidu asap.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia