Berita Harian

Suspek pecah masuk bank ditahan

-

Kota Kinabalu: Polis menyelesai­kan kes pecah masuk pejabat Agrobank di Jalan Gaya, di sini, dalam tempoh 24 jam selepas menahan suspek pada hari sama jenayah berlaku, Rabu lalu.

Suspek lelaki warga Filipina berumur 43 tahun itu ditahan pada jam 10.45 malam selepas polis menerima laporan daripada pegawai bank terbabit pada jam 6.05 pagi pada hari sama.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata siasatan mendapati suspek memecah masuk premis itu pada jam 2.04 pagi hari sama dan mencuri sebuah komputer riba.

Beliau berkata, seorang pegawai bank terbabit menyedari pejabatnya dipecah masuk berdasarka­n keadaan pejabat yang berselerak ketika masuk ke pejabat pagi Rabu lalu.

“Selepas membuat pemeriksaa­n, pegawai terbabit menyedari komputer riba yang disimpan dalam pejabat itu sudah hilang dipercayai dicuri.

“Hasil risikan dan siasatan, sepasukan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menahan suspek pada jam 10.45 malam pada hari sama di hadapan stesen minyak Kampung Air,” katanya.

Habibi berkata, hasil siasatan lanjut, suspek membawa pihak polis ke sebuah pondok pengawal keselamata­n di Asia City dan merampas barangan yang dilaporkan hilang.

Katanya, antara barangan yang dirampas ialah sebuah komputer riba jenama Sony Vaio berwarna hitam, beg galas warna biru dan sehelai baju T yang disyaki digunakan ketika kejadian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia