Berita Harian

Antara marah kena tempat, marah tak bertempat

-

Minggu ini, eloklah rasanya kita berbicara mengenai soal tabiat. Salah satu yang menonjol dan banyak diperkatak­an di akhbar dan media sosial ialah perasaan marah.

Ada dua peristiwa sejak seminggu lalu yang berkait dengan perasaan marah. Pertama, di Langkawi apabila majlis Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertemu pemandu teksi bertukar menjadi gelanggang membangkit­kan perasaan marah.

Insiden kedua pula bagaimana penyokong bola sepak marah kerana ‘ditipu’ atau ‘tertipu’ dengan penjualan tiket final Piala Malaysia di antara Perak dan Terengganu.

Saya akan kupas kedua-dua insiden ini dan kita kaitkan dengan pesanan orang tua-tua dulu sebagai amalan kepada anak cucunya iaitu ‘marah tak bertempat’ dan ‘marah kena pada tempatnya’.

Peristiwa di pulau bebas cukai yang menyaksika­n Dr Mahathir berkecil hati sehingga menyatakan beliau tidak kisah untuk meletakkan jawatan kali kedua sebagai Perdana Menteri tidak lain dek kecewa dengan sikap segelintir pemandu teksi yang biadab dan ‘memboikot’ majlis itu.

Tujuan dan matlamat majlis itu cukup relevan iaitu menyelesai­kan kemelut mengenai pendapatan dan masa depan pemandu teksi, antara industri pengangkut­an awam yang terkesan dengan pengenalan perkhidmat­an e-hailing, terutama Grab kebelakang­an ini.

Di sini saya tidaklah mahu mengupas mengenai mengapa dan sebab apa isu teksi dan e-hailing ini terus menjadi medan perbalahan kerana sudah ada komitmen penyelesai­an positif daripada kerajaan untuk mengakhiri­nya.

Cuma, kejadian di Langkawi itu merebak apabila pemandu teksi, terutama di Kuala Lumpur mahu mengadakan demonstras­i serta mengugut mahu melumpuhka­n ibu kota.

Kemarahan ini terus bertiup sehingga ada desakan supaya menteri yang bertanggun­gjawab dalam pengangkut­an awam dipecat kerana didakwa gagal menyelesai­kan kemelut itu.

Rasanya isu ini wajar diselesaik­an dengan konsep ‘menang-menang’. Kejadian di Langkawi boleh menjadi pencetus kepada penyelesai­an jika pemandu teksi bijak berdialog, bukannya beremosi.

Kita memahami rintihan mereka, tapi alanglah baiknya jika peluang berdiskusi dengan Dr Mahathir itu menjadi medan meluahkan kemarahan yang ‘kena pada tempatnya’.

Ini berbeza dengan insiden kedua iaitu kemarahan penyokong bola sepak. Ia kena pada tempatnya kerana isu tiket saban tahun pasti berlaku setiap kali perlawanan akhir Piala Malaysia atau Piala FA.

Nah, kemarahan mereka boleh diterima. Bayangkan ribuan menunggu berjam-jam dan ada yang terpaksa ‘berkampung’ semalaman bagi mengelak bersesak di pekarangan stadium, namun selepas sejam kaunter tiket dibuka, semua tiket sudah kehabisan.

Ini berlaku di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Khamis lalu apabila dikatakan hanya 2,000 daripada 30,000 tiket yang diperuntuk­kan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dijual. Kekecohan sama di Stadium Perak apabila penyokong beratur seawal jam 7 pagi, namun tiada penjualan tiket dilakukan.

Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) tidak menampal sebarang notis pemakluman di kaunter jualan sedangkan semua 30,000 tiket perlawanan yang diperuntuk­kan awal-awal lagi sudah kehabisan.

Kenapa setiap kali perlawanan akhir bola sepak isu penjualan tiket akan muncul sehingga penyokong menjadi mangsa.

Malah, di negara yang bola sepaknya lebih hebat daripada negara kita seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Bola Sepak Sepanyol (La Liga) dan Liga Bola Sepak Itali (Serie A) tidak pernah isu tiket seperti ini timbul.

Keadaan ini memalukan. Ia sebenarnya boleh dielak jika badan pengendali Liga Bolasepak Malaysia (MFL) atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencari jalan penyelesai­an. Ambil saja contoh di luar negara penjualan tiket dibuka sejak pra-musim lagi menggunaka­n konsep ‘siapa dulu, dia dapat’ dan jualan online.

Jika sistem sekarang di mana masing-masing 30,000 tiket diperuntuk­kan kepada setiap pasukan yang memasuki final, insiden kekecohan yang memalukan ini pasti tidak berkesudah­an.

Justeru berbalikla­h kepada pesanan, janganlah marah tak bertempat. Sebabnya marah hanya akan merosakkan jiwa dan budi pekerti, memburukka­n pergaulan, menghancur­kan kasih sayang dan silaturrah­im.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia