Berita Harian

Solidariti PH perkukuh Kerajaan Kedah

-

Selepas keputusan PRU-14 diumumkan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah tergantung. Pakatan Harapan (PH) memenangi 18 daripada 36 kerusi dan PAS 15, manakala Barisan Nasional (BN) hanya menang tiga kerusi.

Tiada parti atau gabungan yang menang majoriti mudah 19 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri. Istilah yang digunakan ketika itu ialah tergantung 18-18 kerana PAS dan UMNO dikatakan ada ‘pakatan’ tidak rasmi.

Pada malam 9 Mei itu, ramai yang menunggu parti mana yang akan membentuk kerajaan negeri. Ramai yang tahu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah antara calon Menteri Besar daripada PH, selain ADUN PAS jika ada gabungan dibentuk. Kedudukan parti di bawah PH ialah PKR lapan kerusi, BERSATU (lima) Amanah (tiga) dan DAP (dua).

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga Menteri Besar ketika itu, tiada dalam senarai kerana tewas di DUN Suka Menanti. Ketika itu, beliau cuma Ketua Perhubunga­n UMNO negeri dan pengerusi BN negeri sahaja.

Tetapi, PAS yang menang besar 15 kerusi mencadangk­an kepada Mukhriz supaya PAS-PH membentuk kerajaan perpaduan.

“Saya berhubung dengan PAS sebelum kami bentuk kerajaan dan tanyakan adakah mereka sudah berpakat dengan UMNO sebab BN ada tiga kerusi.

“Saya bertanya pada YB Sanusi, (Muhammad Sanusi Md Nor, Timbalan Pesuruhjay­a PAS Kedah dan ADUN Jeneri) Datuk Seri Ahmad Bashah sudah pergi menghadap Tuanku Sultan Kedah.

“Saya tanya beliau adakah ini tanda BN dengan PAS sudah berpakat menuntut diberi peluang membentuk kerajaan negeri Kedah. Bagaimanap­un, beliau memaklumka­n jika ada, pasti PAS tidak akan menolak. Dia kata tak ada bincang untuk berpakat,” katanya dalam satu pertemuan, baru-baru ini.

Apabila dimaklumka­n PAS dan UMNO tidak berunding, Mukhriz terus memberitah­u Muhammad Sanusi PH akan menuntut untuk membentuk kerjaan negeri atas dasar gabungan itu bertanding menggunaka­n satu lambang, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tolak cadangan PAS

Bagaimanap­un, apa yang berlaku agak mengejutka­n Mukhriz. PAS pula membuat tawaran membentuk kerajaan perpaduan, tetapi Mukhriz menolak secara lembut.

“Saya memohon maaf dan maklumkan kami menolak cadangan itu. Jika bergabung, PAS yang ada 15 kerusi akan lebih dominan dalam kerangka kerajaan baharu yang nak diwujudkan itu.

“Saya nyatakan bahawa sudah tentu PAS akan tuntut majoriti besar kerusi EXCO, malah mungkin Menteri Besar nak disandang oleh wakil PAS.

“Mereka maklumkan saya masih boleh pegang Menteri Besar tapi jawatan EXCO biasanya parti paling banyak (ADUN) nak tuntut. Saya kata masalah sikitlah sebab kami masuk (bertanding) pilihan raya sebagai PH, empat parti bersama. Kita dah ada perjanjian... ini bukan masanya untuk kami ambil kesempatan politik macam itu,” katanya.

Musuh ketat DAP, Amanah

Muhkriz juga berkata, beliau tidak nampak bagaimana PAS boleh duduk semeja membentuk kerajaan bersama PH kerana parti itu adalah musuh yang amat ketat dengan DAP dan Amanah.

“Hubungan mereka dengan

DAP tidak pada tahap yang baik, malah mungkin sudah bermusuhan. Hubungan mereka dengan Amanah mungkin lagi teruk daripada itu.

“Macam mana kami daripada BERSATU dan rakan daripada

PKR nak berurusan dengan PAS dalam keadaan kami sudah ada satu persefaham­an, kesepakata­n yang begitu mantap antara keempat-empat parti ini. Tentunya kalau kita wujudkan kerjasama dengan PAS di negeri Kedah, ia akan memberi impak di seluruh negara. Jadi, atas pertimbang­an itu saya terpaksa menolak tawaran mereka,” katanya.

Selepas itu, Mukhriz mendapatka­n surat pemilihan sebagai Menteri Besar daripada PH dan dikemukaka­n kepada Istana Anak Bukit. Ia dipersetuj­ui dan keesokanny­a beliau mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar kali kedua di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddi­n Sultan Badlishah.

Ditanya apakah asas persetujua­n baginda melantik Menteri Besar daripada PH walaupun tidak mendapat majoriti, Muhkriz berkata, ia mungkin kerana PH bertanding menggunaka­n satu lambang walaupun ada empat parti dan ia memang satu gabungan yang sah.

“Yang keduanya, Kerajaan Persekutua­n pun sudah PH. Jadi, takkanlah bila ada pilihan penubuhan kerajaan tu kepada pihak pembangkan­g dalam kerangka politik negara. Jadi, itupun logik... saya fikir Istana Anak Bukit buat keputusan untuk memberi mandat kepada PH,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia