Berita Harian

Rafizi tinggalkan Azmin kelebihan 1,229 undi

-

Kuala Lumpur: Keputusan tidak rasmi pemilihan PKR menyaksika­n bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, meninggalk­an pencabarny­a, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan kelebihan 1,229 undi.

Setakat ini, Rafizi memperoleh 46,477 undi, manakala Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi selaku penyandang jawatan Timbalan Presiden meraih 45,248 undi.

Keputusan itu diperoleh berdasarka­n pemilihan yang dijalankan di 12 negeri.

Daripada jumlah itu, enam negeri sudah memuktamad­kan keputusan iaitu Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur.

Selebihnya adalah negeri yang masih lagi memuktamad­kan keputusan merangkumi pemilihan fasa satu dan dua di Selangor, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah serta Perak.

Bagi jawatan Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar meninggalk­an jauh pencabarny­a.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu meraih 45,500 undi, diekori Ahli Parlimen Ampang, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, dengan 35,665 undi.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar pula memperoleh 30,885 undi dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (26,270 undi), sekali gus keempat-empat mereka berada dalam slot jawatan Naib Presiden. Jawatan Naib Presiden hanya menyediaka­n empat slot untuk diisi.

3 rebut jawatan Ketua AMK

Tiga calon berentap jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) iaitu Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, yang memperoleh 8,149 undi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin (8,136 undi) dan ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi (1,781 undi).

Bagi jawatan Ketua Wanita PKR, ADUN Taman Medan, Haniza Mohd Talha, jauh meninggalk­an Fuziah Salleh, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dengan masing-masing memperoleh 15,117 undi dan 11,979 undi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, tewas dalam pemilihan jawatan Ketua Cabang PKR Sungai Petani.

Penyandang, Dr Robert Ling Kui Ee, mempertaha­nkan jawatannya selepas meraih 525 undi, menewaskan P Ragunathan, yang menerima 430 undi dan Johari (410).

Johari sebelum ini tidak memegang sebarang jawatan pada peringkat cabang, namun memegang jawatan Naib Presiden pada peringkat Pusat.

Hari ini, akan berlangsun­g pemilihan PKR fasa tiga di Selangor membabitka­n enam cabang iaitu Tanjung Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat.

 ??  ??
 ?? [FOTO EFFENDY RASHID /BH] ?? Ahli PKR mendapatka­n pengesahan sebelum mengundi pada pemilihan PKR Cabang Tambun di Ipoh, semalam.
[FOTO EFFENDY RASHID /BH] Ahli PKR mendapatka­n pengesahan sebelum mengundi pada pemilihan PKR Cabang Tambun di Ipoh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia