Berita Harian

Lebih ramai pemimpin BN bakal didakwa

Zahid gesa ahli komponen bersatu, tegas hadapi pasang surut politik

- Oleh Veena Babulal

Pemimpin UMNO tidak akan bersendiri­an menghadapi tuduhan jenayah, sebaliknya lebih ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) akan didakwa selepas ini, termasuk daripada MCA dan MIC, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, Pakatan Harapan (PH) masih belum selesai dalam urusan ‘pemburuan’ mereka mendakwa pemimpin terbabit.

Susulan itu, katanya, pemimpin BN perlu bersatu dan pada masa sama, tegas dalam menghadapi pasang surut politik yang dihadapi parti.

“Saya yakin pemimpin MIC juga akan disiasat, selain pemimpin MCA turut tidak terkecuali menghadapi masalah seperti saya hadapi hari ini,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-72 MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata lebih banyak ahli politik mahu pun penjawat awam akan disiasat dan didakwa kerana rasuah.

Tak akan undur diri

Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri menghadapi 45 tuduhan jenayah itu berkata, beliau tidak akan mengundurk­an diri, sekali gus menutup mulut pengkritik, termasuk dalam kalangan ahli UMNO sendiri yang sebelum ini meminta beliau bercuti sementara sehingga kesnya selesai.

“Ia akan mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk kes itu dibicaraka­n sepenuhnya, sama seperti tempoh saya sebagai presiden parti.

“Jadi, mustahil saya akan bercuti selama tempoh itu, sebaliknya akan terus berdiri teguh. Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan demi Tuhan dan dari sisi agama,” katanya.

Ahmad Zahid menghadapi 45 pertuduhan berkaitan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001 dan Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 serta Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah.

Ahmad Zahid berkata, beliau sebelum ini pernah ditahan mengikut Akta Keselamata­n Dalam Negeri pada 1998 dan 10 tahun kemudian, didakwa antara lain mengikut AMLA oleh lelaki sama (Dr Mahathir).

“Tidak mengapa saya menjadi mangsa kerana saya mempunyai Tuhan sebagai petunjuk. Apapun, saya yakin, jika saya melompat ke parti yang mana kerusinya adalah sedikit, saya pasti tidak menghadapi semua tuduhan ini,” katanya kepada kira-kira 3,000 ahli MIC yang hadir pada mesyuarat berkenaan.

Berhati-hati keluar kenyataan

Sementara itu, ketika ditanya adakah beliau dipanggil Dr Mahathir untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Ahmad Zahid berkata, beliau perlu berhati-hati mengeluark­an sebarang kenyataan.

“Saya ada bertemu beliau (Dr Mahathir) bersama Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden. Mesej beliau sangat jelas, iaitu kami mesti melompat parti dan menyertai BERSATU.

“Ini seolah-olah kami perlu membubarka­n UMNO, itu sangat jelas dan terang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia