Berita Harian

Mangsa dedah kod TAC kepada sindiket rugi RM16,100

-

Balik Pulau: Dua mangsa kerugian RM16,100 selepas mereka menyerahka­n nombor kod pengesahan transaksi (TAC) kepada sindiket penipuan Macau Scam.

Khamis lalu, seorang pemandu bas lelaki berusia 25 tahun kerugian RM2,500 apabila menyerahka­n TAC kepada sindiket, manakala dalam kes terbaru kelmarin, seorang pengurus wanita berusia 41 tahun yang kerugian RM13,600 menerusi kaedah yang sama.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superinten­dan A A Anbalagan, berkata dalam kejadian kelmarin, pengurus wanita itu pada awalnya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa sebagai wakil dari Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, lelaki itu memaklumka­n kononnya syarikat milik mangsa di Perak ada hutang Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) berjumlah RM85,700.

“Wanita itu kemudian disambungk­an panggilan kononnya kepada Sarjan Helmi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

“Mangsa diberitahu pula yang syarikatny­a terbabit dalam kes penyeludup­an dadah dan penipuan wang sebelum diminta bercakap kononnya dengan Sarjan Wong dari Bukit Aman,” katanya.

Minta kata laluan

Beliau berkata, anggota sindiket terbabit meminta nama, kata laluan dan nombor TAC akaun bank, yang terus diberikan mangsa kerana terlalu panik.

“Mangsa kemudian membuat semakan dan mendapati wang miliknya berjumlah RM13,600 lesap dipindahka­n ke akaun seorang lelaki,” katanya.

Anbalagan berkata, dalam kes penipuan membabitka­n pemandu bas lelaki itu pula, mangsa dihubungi seorang lelaki yang mendakwa tersilap mendaftar nombor telefon mangsa untuk mengemas kini akaun bank milik bapanya.

“Suspek kemudian meminta mangsa menghantar nombor TAC yang kononnya tersalah daftar dengan nombor telefon mangsa itu.

“Mangsa yang percaya bertindak memberikan nombor TAC itu. Namun, apabila membuat semakan melalui mesin juruwang automatik (ATM) pada keesokanny­a, mangsa mendapati wangnya sebanyak RM2,500, hilang,” katanya.

Sementara itu, Anbalagan berkata, pihaknya juga menerima kes membabitka­n seorang juruteknik wanita, berusia 33 tahun, bulan lalu, yang kerugian RM5,000 selepas dia diperdaya untuk membuat pembayaran bagi urusan caj penghantar­an barang.

Mangsa menerima kiriman mesej melalui Facebook daripada seorang lelaki yang mendakwa mangsa ada bungkusan mengandung­i wang tunai, barang kemas, telefon pintar dan komputer riba dihantar melalui sebuah syarikat.

“Bagaimanap­un, suspek memaklumka­n kononnya semua barang terbabit tidak dapat dihantar syarikat itu kerana mengandung­i barang berharga dan meminta mangsa membayar caj penghantar­an terlebih dahulu,” katanya.

Sehubungan itu, Anbalagan menasihati orang ramai supaya lebih peka dengan taktik sindiket Macau Scam, yang menggunaka­n pelbagai helah untuk memperdaya mangsa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia