Berita Harian

Bekalan ikan patin kurang dalam tempoh tiga bulan

Pengusaha kosongkan sangkar hadapi musim tengkujuh elak kerugian

- Oleh Nazirul Roselan

Bekalan ikan patin dari daerah ini dijangka berkuranga­n dalam tempoh tiga bulan akan datang berikutan tindakan pengusaha mengosongk­an sangkar ternakan masing-masing untuk menghadapi musim tengkujuh.

Langkah itu bertujuan mengelakka­n mereka mengalami kerugian kerana berdepan risiko kerosakan sangkar pada musim hujan berikutan peningkata­n paras air Sungai Pahang.

Pengerusi Persatuan Penternak dan Peniaga Ikan Sangkar Temerloh, Khaidir Ahmad, berkata penternak mula mengosongk­an sangkar dan berhenti sementara waktu meletakkan benih ikan baharu sehingga musim tengkujuh tamat.

Kerugian lebih RM1 juta

“Penternak tidak mahu menanggung kerugian pada musim tengkujuh kerana kemungkina­n sangkar mereka akan pecah atau hanyut dibawa arus.

“Justeru, mereka mula mengambil langkah menghabisk­an bekalan ikan sedia ada dan mengosongk­an sangkar hingga Februari depan,” katanya ketika ditemui NSTP di Kampung Lebak, dekat sini, semalam.

Mengulas lanjut, Khaidir berkata, beliau sendiri pernah mengalami kerugian lebih RM1 juta ketika banjir besar melanda daerah itu pada 2014 yang dijadikann­ya iktibar supaya lebih berjaga-jaga.

“Kami mula mengosongk­an sangkar sejak minggu lalu, jual bagi habis dan tidak masuk benih baharu.

Ganti tong rosak

Beliau berkata, selain mengosongk­an sangkar, pengusaha turut menggantik­an tong rosak dan mengetatka­n tali supaya ia tidak mudah hanyut apabila banjir melanda.

Sementara itu, pengusaha patin sangkar di Kampung Bangau Tanjung, Mohd Haziman Hanipah, 30, berkata beliau mengambil pendekatan mengetatka­n tali dan menggantik­an tong rosak walaupun menyedari musim tengkujuh kian hampir.

“Saya sedar risiko (kerugian pada musim tengkujuh). Saya akan bersiap sedia di pondok khas berhampira­n untuk bertindak jika sesuatu berlaku,” katanya.

Dianggarka­n hampir 300 pengusaha menternak patin dan tilapia dalam sangkar di sepanjang persisiran Sungai Pahang.

 ?? [FOTO NAZIRUL ROSELAN /BH] ?? Khaidir (kiri) bersama pekerjanya menggantik­an tong yang rosak dan mengosongk­an sangkar ikan sebagai persiapan hadapi musim tengkujuh di Kampung Lebak, Temerloh, semalam.
[FOTO NAZIRUL ROSELAN /BH] Khaidir (kiri) bersama pekerjanya menggantik­an tong yang rosak dan mengosongk­an sangkar ikan sebagai persiapan hadapi musim tengkujuh di Kampung Lebak, Temerloh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia