Berita Harian

DAKWAAN AHLI PARLIMEN CABUL REMAJA ‘HANYA SALAH FAHAM, TIADA NIAT’

Keluarga mangsa tarik laporan, YB akan dipanggil ke Bukit Aman hari ini

- Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kejadian ‘cabul’ yang membabitka­n antara seorang Ahli Parlimen dan remaja perempuan berusia 15 tahun pada 20 Oktober lalu, didakwa hanya salah faham sahaja antara mereka.

Ahli Parlimen berkenaan ketika dihubungi berkata, beliau tiada niat untuk menyentuh mangsa sehingga keluargany­a melaporkan perkara terbabit kepada pihak polis.

“Saya sudah kenal mereka lama, sudah hampir dua tahun dan sewaktu kejadian yang kononnya ‘cabul’ itu, bukan berlaku di tempat yang sunyi tetapi di khalayak.

“Saya tak mahu panjangkan perkara ini kerana kasihan kepada pelajar itu dan dia ada masa depan yang cerah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga enggan mengulas panjang perkara berkenaan kerana perkara terbabit masih dalam siasatan polis.

“Mereka kata saya sogok, saya pun tak tahu keluarga mangsa tarik balik laporan polis yang dibuat sehingga mereka sendiri yang maklumkan kepada saya,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (Mywatch), Datuk R Sri Sanjeevan, mendedahka­n kejadian cabul oleh Ahli Parlimen berkenaan di akaun Twitter miliknya.

Pengerusi PKR Perlis, Mohd Faisol Abdul Rahman, turut membuat laporan polis mendesak keluarga mangsa itu tampil untuk membuat laporan polis semula.

Ini berikutan selepas Mohd Faisol mendakwa keluarga mangsa disogok oleh Ahli Parlimen berkenaan, sehingga laporan sebelum ini ditarik balik.

Tidak lindungi pesalah

Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd, berkata polis akan meneruskan siasatan kes itu walaupun mangsa sudah menarik balik aduannya dan Sanjeevan tidak sepatutnya membuat tuduhan melulu kononnya ada pihak cuba ‘menutup’ kes berkenaan.

Katanya, polis masih melakukan siasatan kes mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahank­esalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan sudah ada pihak dipanggil untuk diambil keterangan.

“Polis kini juga sedang mendapatka­n nasihat daripada Timbalan Pendakwa Raya, sama ada ia boleh diteruskan untuk pendakwaan atau tidak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Noor Mushar berkata, polis tidak melindungi sesiapa walaupun pesalah itu daripada golongan kelas atasan sekalipun.

BERNAMA melaporkan, Ahli Parlimen berkenaan akan dipanggil ke Bukit Aman, hari ini, bagi memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

Noor Mushar berkata, ketika ini, Ahli Parlimen itu berada di Kuala Lumpur atas urusan politik.

“Sekarang beliau tidak berada di Perlis dan berada di Kuala Lumpur atas urusan politik, maka kami terpaksa meminta bantuan Bukit Aman untuk mengambil keterangan beliau berhubung kes ini.

“Selain itu, saya juga ada melantik seorang pegawai polis khas mengendali kes ini dan siasatan kes berkenaan diteruskan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, keterangan Ahli Parlimen itu yang dijadual berlangsun­g hari ini akan diuruskan oleh Bahagian Siasatan Penderaan dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman.

Walaupun aduan sudah ditarik balik, polis masih menyiasat kes itu, malah kini sedang mendapatka­n nasihat daripada Timbalan Pendakwa Raya sama ada ia boleh diteruskan untuk pendakwaan atau tidak, seeloknya Sanjeevan tidak mencampuri urusan polis” Noor Mushar Mohd, Ketua Polis Perlis

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia