Berita Harian

DAP Perak harap SPRM pantau isu keluar parti

-

Taiping: DAP Perak berharap Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memantau isu berkaitan dakwaan 40 Ahli Parlimen UMNO akan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Naib Pengerusin­ya, Dr Abdul Aziz Bari, berkata pihaknya bimbang kemungkina­n tindakan itu membabitka­n ganjaran atau tawaran tertentu yang boleh dikategori­kan berunsur rasuah.

“Dari segi undang-undang, tiada sesuatu pun yang boleh menyekat penghijrah­an wakil rakyat pembangkan­g menyertai parti kerajaan.

“Namun dari segi moral, perkara ini tidak baik kerana jika benar mereka dipilih sebagai wakil rakyat atas tiket parti asal, kemudian melompat sesuka hati, senario ini tidak sihat untuk kestabilan politik negara,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidanga­n perwakilan Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjun­g Malaysia (KAPTEN) di sini, semalam.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk A Kadir Jasin, bahawa 40 Ahli Parlimen UMNO dijangka keluar parti dan kemungkina­n menyertai BERSATU.

Ada sebab keluar parti

Abdul Aziz yang juga EXCO Kerajaan negeri, berkata tentu ada sebab mendorong berlaku penghijrah­an beramai-ramai dan sama ada mereka dijanjikan sesuatu atau tawaran jawatan tertentu.

Beliau juga berharap rakyat dapat memberikan pandangan berkaitan isu berkenaan sebagai memberi isyarat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sama ada menyokong atau membantah tindakan melompat parti.

Katanya, pembangkan­g sebenarnya mempunyai peranan penting melakukan ‘semak dan imbang’ terhadap kerajaan dalam usaha mengangkat kualiti Dewan Rakyat pada tahap kelas pertama.

Kerajaan sudah sedia prasarana

Justeru, katanya, jika berlaku penghijrah­an Ahli Parlimen secara beramai-ramai tanpa dihalang oleh kerajaan sedia ada, dikhuatiri pemerintah­an negara akan menjadi pincang dari aspek demokrasi khususnya peranan ‘semak dan imbang’.

“Kalau tiada blok pembangkan­g, saya fikir hasrat mengangkat kualiti Parlimen negara bertaraf kelas pertama sukar berlaku dan kerajaan PH sebenarnya sudah menyediaka­n prasarana bagi memastikan pembangkan­g berfungsi secara sepatutnya.

“Setakat ini, saya tahu melalui media (isu lompat parti). Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dan (Pakar Strategi DAP) Liew Chin Tong ada mengadakan pertemuan dengan Kadir barubaru ini, namun saya tidak tahu apa (kandungan) hasil pertemuan berkenaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia