Berita Harian

‘Langkah bantu reformasi kerajaan’

-

Kuala Lumpur: Penyertaan beramai-ramai Ahli Parlimen UMNO dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) boleh menjadikan ia parti dominan dalam Pakatan Harapan (PH).

Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Dasar Awam Fakulti Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, berkata bagaimanap­un dalam PH, tiada perkataan siapa dominan dalam gabungan itu, sekali gus menimbulka­n bibit kurang senang membabitka­n DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Katanya, pegangan PH selama ini adalah semua parti dalam gabungan itu sama dan tiada perbezaan.

“Apabila tiba-tiba 40 orang (Ahli Parlimen) yang (didakwa) akan masuk (BERSATU) memberi persepsi seolah-olah BERSATU akan jadi BN 2.0. Maksudnya akan jadi satu parti dominan dalam PH.

Tiada konsep siapa dominan

“UMNO dahulu, parti itu yang dominan dalam BN (Barisan Nasional) dan mengawal BN. Dalam PH pula, PKR, DAP dan AMANAH mereka kata tidak ada konsep siapa yang dominan kerana masing-masing sama.

“PKR, DAP dan AMANAH tidak seharusnya memandang negatif kerana langkah ini satu strategi (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) mendapat sokongan di Parlimen.

“Kalau Ahli Parlimen masuk BERSATU, pertamanya kerajaan akan jadi kuat dengan majoriti dua pertiga,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sabtu lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk A Kadir Jasin, pula menyatakan 40 Ahli Parlimen UMNO sedang membuat pertimbang­an dengan teliti untuk menyertai BERSATU.

Penganalis­is politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, melihat ‘penghijrah­an’ Ahli Parlimen UMNO dalam BERSATU sebagai langkah kanan yang dapat membantu untuk mereformas­ikan kerajaan apabila memerlukan ‘persetujua­n’ dengan majoriti dua pertiga.

Beliau percaya, senario lompat parti bukan gerakan untuk menyekat pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PH kerana Dr Mahathir seorang yang patuh kepada perjanjian.

“Ramai Ahli Parlimen UMNO akan lompat masuk BERSATU kerana kedua-dua parti itu memiliki perjuangan yang mirip ada cuma berbeza sedikit.

“BERSATU lebih terbuka, manakala UMNO agak konservati­f. Kalau mahu pilih PKR, parti itu konteksnya lain sikit kerana ada tiga gabungan yang merangkumi bekas NGO (badan bukan kerajaan), bekas orang UMNO dan bekas orang ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia),” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia