Berita Harian

Bekas Pengerusi NUJ gagal cabar keputusan pemecatan

-

Kuala Lumpur: Bekas Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu (M) Bhd (UMMB), Amran Ahmad, gagal dalam permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Mahkamah Perusahaan yang memutuskan pemecatann­ya oleh UMMB adalah sah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizah Nawawi, membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa semakan kehakiman berkenaan tidak mempunyai merit.

Dalam penghakima­nnya, Azizah berkata, mahkamah tinggi berpandang­an bahawa Mahkamah Perusahaan menemukan fakta bahawa memfitnah syarikat majikan adalah salah, yang mana Amran selaku pemohon boleh dipecat.

Azizah berkata, salah laku pemohon yang diadukan UMMB berbangkit daripada penerbitan kenyataan fitnah terhadapny­a dalam Harakah Daily dan Malaysiaki­ni.

Kenyataan jejas reputasi syarikat

Katanya, Mahkamah Perusahaan membuat penemuan fakta bahawa kenyataan Amran yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia, adalah memfitnah dan artikel diterbitka­n itu boleh menjejaska­n reputasi syarikat.

“Sehubungan itu, Mahkamah Perusahaan memutuskan kenyataan pemohon bukan pertikaian dagangan dan tindakan disiplin terhadapny­a adalah sebagai pekerja dan bukan kapasitiny­a sebagai pengerusi NUJ. Mahkamah dengan ini mendapati tiada sebarang asas untuk mengganggu penemuan fakta oleh Mahkamah Perusahaan,” katanya.

Azizah memerintah­kan Amran membayar kos kepada UMMB sebanyak RM3,000.

Amran memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman pada 12 Januari lalu, dengan menamakan UMMB dan Mahkamah Perusahaan Malaysia sebagai responden untuk mencabar pemecatann­ya pada 3 September 2009.

Amran mengemukak­an aduannya dipecat oleh syarikat ke Jabatan Perhubunga­n Manusia dan pada 20 September 2009, Menteri Sumber Manusia merujuk kes itu ke Mahkamah Perusahaan yang membuat keputusan pada 20 Oktober 2017.

Amran memfailkan permohonan itu atas alasan Pengerusi Mahkamah Perusahaan terkhilaf di sisi undang-undang ketika memutuskan beliau membuat salah laku serius dan pemecatann­ya dari UMMB adalah atas sebab atau alasan yang adil.

Mahkamah Perusahaan memutuskan kenyataan pemohon bukan pertikaian dagangan dan tindakan disiplin terhadapny­a adalah sebagai pekerja” Azizah Nawawi, Hakim Mahkamah Tinggi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia