Berita Harian

Rayuan ringankan hukuman ditolak

-

Alor Setar: Mahkamah Rayuan Syariah di sini semalam, menolak rayuan seorang bekas kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, untuk meringanka­n keputusan hukuman penjara, denda dan sebat atas kesalahan sumbang mahram pada tahun lalu.

Tiga panel hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Syeikh Abdul Rahman, menolak rayuan lelaki berusia 55 tahun itu selepas meneliti alasan yang diberikan seperti kesalahan pertama, masalah kesihatan, faktor tanggungan keluarga dan insaf adalah bersifat terlalu umum dan tidak diperincik­an.

Dijatuhi hukuman penjara, denda, sebat

Tertuduh sebelum itu dijatuhi hukuman penjara satu bulan, denda RM5,000 dan enam sebatan pada 17 April tahun lalu, sebelum memfailkan rayuan pada 19 Februari tahun ini.

Berdasarka­n kertas pertuduhan, tertuduh didapati melakukan kesalahan sumbang mahram bersama anak saudaranya berusia 26 tahun itu di sebuah rumah di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, di antara 24 Januari dan 22 Mac 2017.

Tertuduh juga didakwa sudah bernikah dengan anak saudaranya di Thailand.

Pendakwaan dilakukan oleh Pendakwa Syarie Mahkamah Syariah Alor Setar, Farah Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam, Bahador Omar.

Sebelum itu, tertuduh yang berpakaian kemeja hitam serta seluar panjang dan bersongkok hadir ke mahkamah seawal jam 8.30 pagi ditemani keluargany­a.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia