Berita Harian

Kerajaan negeri lapor polis isu ‘Sultan Melaka’

-

Ayer Keroh: Kerajaan negeri membuat laporan polis, semalam, terhadap seorang lagi individu mendakwa dirinya ‘Sultan Melaka’ seperti yang tular dalam Facebook (FB) sejak minggu lalu.

Laporan itu dibuat oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Maslina Baki, di Balai Polis Ayer Keroh, di sini, pada jam 4 petang.

Maslina berkata, kerajaan negeri kini menunggu hasil siasatan polis, namun enggan mengulas lanjut mengenai kandungan laporan yang dibuat.

“Saya tidak boleh komen apa-apa tetapi kandungan laporan adalah mengenai maklumat pemasyhura­n Sultan Mansor Shah Ketiga.

“Saya akan diambil kenyataan lebih lanjut (kemudian). Selepas itu, polis akan menyatakan sama ada merujuk kepada Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau tindakan lain,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis.

Bimbang wujud unsur penghinaan

Beliau berkata, laporan itu juga dibuat berikutan bimbang wujud unsur penghinaan terhadap institusi kesultanan dan kedudukan raja-raja di negara ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris ketika dihubungi mengesahka­n menerima laporan berkenaan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Md Azhan Samat, pula berkata tindakan pihak terbabit perlu dilihat supaya tidak bercanggah dengan perundanga­n Malaysia dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di negara ini.

“Siasatan lanjut bagi menentukan sama ada kandungan media sosial itu benar atau sebaliknya juga wajar sebelum tindakan diambil oleh pihak berkuasa.

“Kita akan turut menyiasat sama ada berlaku kesalahan mengikut Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, iaitu menghina agama Islam,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia