Berita Harian

Nelayan asing ditahan, rampasan lebih RM1.5 juta

-

Kuala Lumpur: Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 18 nelayan asing dan melakukan rampasan dianggar bernilai lebih RM1.5 juta di perairan Tok Bali, Kelantan, kelmarin.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata individu berusia 18 hingga 42 tahun membabitka­n dua bot milik nelayan warga Vietnam itu ditahan di 55 dan 57 batu nautika dari Kuala Tok Bali.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, Leftenan Komander Maritim Pazrul Niza Mohd Mustapa sedang mengetuai Op Damai menggunaka­n Kapal Maritim (KM) Jujur.

Setiba di lokasi terbabit, katanya, dua bot nelayan asing disyaki sedang melakukan aktiviti perikanan tunda gading dan cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran kapal peronda penguat kuasa tetapi berjaya dihalang.

“Hasil pemeriksaa­n mendapati kedua-dua bot berkenaan mempunyai seramai 18 awak-awak dan tekong dalam lingkungan umur 18 hingga 42 tahun.

Tiada dokumen sah

“Mereka semua tidak memiliki dokumen pengenalan diri, manakala dua bot terbabit juga tiada dokumen sah untuk berada di perairan perikanan Malaysia,” katanya ketika dihubungi.

Susulan itu, beliau berkata, kedua-dua bot bersama awak-awak dan tekong berkenaan dibawa ke jeti Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali untuk siasatan lanjut.

“Rampasan turut dibuat merangkumi bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan dan diesel dianggarka­n bernilai lebih RM 1.5 juta. Siasatan akan dibuat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya.

 ?? [FOTO SYAMSI SUHAIMI /BH] ?? Sebahagian warga asing yang ditahan di perairan Tok Bali, Kelantan, kelmarin.
[FOTO SYAMSI SUHAIMI /BH] Sebahagian warga asing yang ditahan di perairan Tok Bali, Kelantan, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia