Berita Harian

Terbuka rai perbezaan pandangan

Kaedah keluar hukum dalam mazhab masih berpandu al-quran, sunah

- Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

Perbezaan pendapat atau khilaf dalam kalangan ulama untuk menentukan sesuatu hukum bukan saja tidak boleh dielakkan, bahkan akan terus berlaku dalam ranah agama.

Malah, perbezaan pendapat sudah wujud sejak zaman sahabat yang berterusan hingga lahirnya mazhab fiqh utama seperti Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali serta beberapa kelompok imam mujtahid yang lain.

Walaupun ulama dalam setiap mazhab mempunyai kaedah mengeluark­an hukum yang sebahagian­nya berbeza dalam menentukan hukum, ia masih lagi berpanduka­n sumber yang sama, iaitu al-quran dan sunah.

Pendakwah Nusantara, Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu Albanjari Al-makki, berkata khilaf wujud disebabkan setiap ulama mempunyai sudut pandangan tersendiri disebabkan mempunyai sumber hukum yang berbeza.

Beliau berkata, daripada pandangan yang berbeza itu seterusnya melahirkan pandangan mazhab terbabit yang digunakan oleh pengikut mereka.

Dalam menentukan hukum katanya, selain bersumber al-quran dan sunah, imam mazhab turut menggunaka­n pelbagai sumber bersandark­an ijma, qiyas, istidlal, qaul shahabi (pandangan sahabat Nabi SAW) dan maslahah al-mursalah.

“Ada yang mempersoal­kan umat Islam meyakini Tuhan yang sama, al-quran yang sama, solat ke arah kiblat yang sama, tetapi mempunyai mazhab yang berbeza.

Pandangan dangkal

“Bagi saya ia adalah pandangan yang dangkal yang dikeluarka­n oleh individu atau kelompok yang tidak faham mengenai pandangan bermazhab,” katanya pada Ucaptama Pendekatan Istidlal dan Tarjih Ulama Shafie dalam Menentukan Hukum Fiqh pada Seminar Ilmu Wahyu dan Thurath (SIWAT) Ke-34 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Sheikh Muhammad Nuruddin berkata, pegangan mazhab membantu umat Islam untuk menjalanka­n tatacara hidup bersandark­an acuan yang dikehendak­i Islam. Tanpanya, masyarakat sukar mempraktik­kan syariat kerana ketiadaan rujukan teratur dan sandaran diiktiraf.

Katanya, menjadi menjadi tanggungja­wab umat Islam menolak aliran pemikiran yang bertentang­an dengan al-quran dan sunnah.

Beliau turut mengingati umat Islam untuk lebih terbuka dalam menerima kewujudan pandangan yang pelbagai dalam mazhab lain.

Menyentuh lebih lanjut mengenai perbezaan pendapat dalam kalangan imam mazhab, Sheikh Muhammad Nuruddin berkata, perbezaan pendapat dalam kalangan ulama mazhab boleh wujud disebabkan pelbagai perkara, termasuk satu dalil yang mempunyai beberapa maksud.

Mengambil contoh dalam perkara membabitka­n soal perceraian, Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali quru.” (albaqarah 228)

Sheikh Muhammad Nuruddin berkata, quru yang terdapat dalam ayat itu mempunyai dua makna, iaitu haid dan suci, sekali gus boleh bermaksud tempoh haid atau tempoh bersih daripada haid.

“Dalam mengeluark­an hukum daripada ayat itu, imam mazhab berbeza dalam memahaminy­a. Imam Malik dan Imam Shafie berpendapa­t perkataan quru mewakili tempoh bersih daripada haid, manakala Imam Abu Hanifah berpendapa­t ia mewakili tempoh seseorang itu berada dalam haid.

Tafsiran hukum berbeza

“Imam Ahmad dalam pendapatny­a yang pertama mengatakan quru itu ialah masa suci kemudian dalam pendapatny­a kedua, beliau mengatakan ia adalah masa dalam keadaan haid.

“Walaupun ayat terbabit merujuk kepada dalil yang sama, imam mazhab mempunyai tafsiran hukum yang berbeza, tetapi Imam Syafie dalam mengeluark­an hukum ini beristidla­l berdasarka­n beberapa ayat al-quran dan hadis lain. Jadi quru itu ditarjihka­n kepada tiga kali bersih,” katanya pada acara yang dianjurkan Pusat Kelestaria­n Thurath Islami, Fakulti Pengajian Islam (FPI) UKM.

Menyentuh perkara khilaf lain iaitu solat witir, Sheikh Muhammad Nuruddin berkata, terdapat mazhab yang menjadikan ibadat itu sebagai wajib.

Namun berdasarka­n hadis yang diriwayatk­an Bukhari, Nabi SAW sembahyang sunat di atas tunggangan dengan menghadap ke arah mana sahaja hala tujuannya dan Baginda mengerjaka­n sembahyang witir di atas tunggangan melainkan pada sembahyang yang wajib.

Justeru, Sheikh Muhammad Nuruddin berkata, mengambil daripada hadis mazhab Syafie meletakkan hukum solat witir sebagai solat sunat yang dituntut.

Katanya, umat Islam harus mengambil iktibar dengan membenarka­n khilaf dalam kalangan umat Islam asalkan ia berlandask­an asas yang kuat dan bersandark­an al-quran, hadis, ijma serta qiyas.

 ?? [FOTO ROHANIS SHUKRI/BH] ?? Sheikh Muhammad Nuruddin menyampaik­an Ucaptama Pendekatan Istidlal dan Tarjih Ulama Shafie dalam Menentukan Hukum Fiqh pada SIWAT Ke-34 di UKM, baru-baru ini.
[FOTO ROHANIS SHUKRI/BH] Sheikh Muhammad Nuruddin menyampaik­an Ucaptama Pendekatan Istidlal dan Tarjih Ulama Shafie dalam Menentukan Hukum Fiqh pada SIWAT Ke-34 di UKM, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia