Berita Harian

Pemimpin komuniti bola sepak Malaysia ucap takziah

- Oleh Farah Azharie

Kuala Lumpur: Komuniti bola sepak tempatan menghulurk­an ucapan takziah kepada keluarga Pengerusi Leicester City FC, Vichai Srivaddhan­aprabha yang terbunuh dalam insiden helikopter terhempas, Sabtu lalu.

Bekas Pengerusi Queens Park Rangers, Tan Sri Tony Fernandes; pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim; pasukan Liga Perdana dimiliki Malaysia, Cardiff City dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengeluark­an kenyataan menerusi twitter berikutan tragedi itu.

Fernandes yang juga pemilik Airasia, memuat naik gambarnya bersama Srivaddhan­aprabha dan anaknya bersama trofi dengan kata-kata: “Berita tragik itu akhirnya keluar. Semangatny­a akan terus hidup bersama anaknya yang hebat.

“Vichai sentiasa memberikan kita semangat untuk memiliki impian. Dia menjadikan mimpi menjadi realiti dan itu memberikan kita untuk terus memasang impian untuk sesuatu yang mustahil dan tidak pernah mengalah. Selamat tinggal sahabat.”

Ingatan dan doa

Satu lagi pasukan Liga Perdana, Cardiff City yang dimiliki usahawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan menerusi Twitter: “Ingatan dan doa Cardiff City Football Club bersama rakan kami di Leicester City FC dan mereka yang terbabit dalam kemalangan malam itu.”

Sementara itu, Tunku Ismail berkata: “Ucapan takziah kepada keluarga pemilik @LCFC Vichai Srivaddhan­aprabha dan keluarga yang kehilangan orang tersayang. Semoga tuhan membantu ketika tempoh yang mencabar ini.”

Kelab milik Tunku Ismail juga mengeluark­an kenyataan menerusi Facebook, Johor Southern Tigers: “Kami mewakili seluruh keluarga JDT FC mengucapka­n takziah kepada keluarga mendiang Vichai Srivaddhan­aprabha, pemilik dan pengerusi Kumpulan King Power Internatio­nal dan pengerusi Leicester City FC. Semoga bersemadi dengan aman.”

Srivaddhan­aprabha terbunuh dalam insiden helikopter terhempas berdekatan tempat letak kereta di tenggara Stadium King Power sejurus berlepas kira-kira 8.20 malam pada Sabtu lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia