Berita Harian

Terengganu rasa terhina aksi provokasi

- Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri kesal dengan insiden dua pemain import Perak melakukan provokasi melampau dengan aksi tarian lucah di depan pemain import Terengganu FC (TFC), Igor Zonjic perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Tindakan biadab dilakukan oleh Wander Luiz dan Leandro Dos Santos itu bukan sahaja mengaibkan Zonjic, malah skuad TFC, persatuan dan seluruh penyokong skuad Penyu serta peminat bola sepak tanah air.

Pengerusi Jawatankua­sa Pembanguna­n Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, insiden itu tidak harus berlaku apatah lagi disaksikan jutaan peminat termasuk lebih 80,000 penyokong yang membanjiri stadium itu.

Kerajaan negeri kesal

“Kerajaan negeri kesal dengan insiden memalukan itu apatah lagi perlakuan itu sengaja dilakukan mungkin untuk membangkit­kan kemarahan pemain itu (Zonjic) dan juga skuad TFC.

“Lebih menyedihka­n perlakuan itu dilakukan di depan pemain import TFC yang ketika itu berada dalam kesedihan sambil disaksikan beberapa pemain lain.

“Seharusnya dua pemain import itu bijak mengawal emosi kegembiraa­nnya dengan tidak melakukan aksi yang memalukan kerana banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan selain perlu menonjolka­n semangat kesukanan yang tinggi.

“Perlakuan itu bukan sahaja menimbulka­n rasa kurang senang dalam kalangan pemain dan penyokong skuad Penyu, tetapi turut mencemarka­n imej bola sepak negara,” kata Wan Sukairi.

Insiden itu berlaku selepas Zonjic tertampan bola masuk ke gawang sendiri ketika masa permainan hanya tinggal beberapa saat sebelum ditamatkan pengadil perlawanan, Suresh Jayaraman.

Pada perlawanan penuh kontrovers­i itu, skuad The Bos Gaurus menjuarai piala berprestij itu hasil kemenangan 4-1 menerusi penentuan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 sehingga masa tambahan.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil serius perkara ini bagi mengelak perkara sama tidak berlaku lagi.

“Ia juga sebagai pengajaran kepada pemain itu (Wander Luiz dan Leandro) serta kepada lain,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia