Berita Harian

Pasangan kekasih dalang kes samun ditahan

Suspek disyaki terbabit 6 rompakan kedai serbaneka 24 jam

- Oleh Mohd Nazllie Zainul

Polis menahan sepasang kekasih kerana disyaki mendalangi enam kes samun kedai serbaneka 24 jam di sekitar bandar raya ini.

Suspek berusia 28 tahun bersama teman wanitanya berusia 27 tahun ditahan di sebuah rumah di Inanam, Jumaat lalu, susulan dua laporan diterima berkaitan kes samun kedai serbaneka 24 jam di Jalan Kolam di sini, pada 23 Oktober lalu, disusuli premis di Jalan Damai Plaza, dua hari kemudian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata dalam kes pertama, suspek hanya dapat melarikan RM90, manakala samun di lokasi kedua suspek tidak sempat melakukan samun berikutan pekerja kedai serbaneka terbabit menjerit mengakibat­kan suspek panik dan melarikan diri.

Katanya, penahanan pasangan kekasih itu, sekali gus dipercayai dapat menyelesai­kan enam kes samun kedai serbaneka 24 jam sekitar bandar raya ini.

Menyamar pelanggan

“Modes operandi pasangan ini adalah suspek lelaki menyamar sebagai pelanggan dan melakukan samun menggunaka­n pisau apabila premis dalam keadaan sunyi.

“Selepas itu, suspek meninggalk­an kedai sebelum menaiki PERODUA Myvi dipandu teman wanitanya yang menunggu di luar premis.

“Kita dapat mengesan pasangan ini selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, dekat sini, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 kerana samun bersenjata.

Dalam kes berasingan, Habibi berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga Filipina, disyaki pengedar dadah pada jam 10.40 malam di Lorong Pekan Telipok Satu di sini, 26 Oktober lalu.

Beliau berkata, suspek berusia 21 tahun ditahan ketika dipercayai mahu menjual barang terlarang itu berikutan penemuan lima paket bungkusan lut sinar dipercayai mengandung­i dadah jenis syabu seberat 249 gram.

“Pemeriksaa­n air kencing mendapati suspek tidak positif dadah. Oleh itu, kita percayai dia hanya pengedar namun secara kecil-kecilan sejak beberapa bulan lalu,” katanya sambil menambah rampasan dadah itu dianggarka­n RM40,000.

 ?? [FOTO MALAI ROSMAH TUAH /BH] ?? Habibi (tengah) menunjukka­n barangan yang dirampas dalam kes samun dan dadah pada sidang media IPD Kota Kinabalu. semalam.
[FOTO MALAI ROSMAH TUAH /BH] Habibi (tengah) menunjukka­n barangan yang dirampas dalam kes samun dan dadah pada sidang media IPD Kota Kinabalu. semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia