Berita Harian

Operasi cari mayat remaja lemas dipergiat

-

Keningau: Pasukan penyelamat masih giat menjalanka­n operasi mencari mayat remaja lelaki yang lemas selepas dihanyutka­n arus deras ketika mandi bersama rakannya di Sungai Talangkai Sapulut di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Benly Udin, 16, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sapulut yang tinggal di asrama sekolah berkenaan dikatakan meminta kebenaran untuk keluar asrama dengan alasan pergi ke gereja.

Mangsa, bagaimanap­un, dipercayai pergi ke sungai terbabit bersama rakannya tetapi dia dilaporkan hanyut dibawa arus deras ketika mandi di sungai itu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superinten­dan Ahmad Jawila, berkata mangsa ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dipercayai lemas oleh penduduk kampung yang membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 4 petang semalam, kira-kira 150 meter daripada lokasi dia dilaporkan hilang.

Mayat mangsa tersepit

Bagaimanap­un, katanya, mayat mangsa yang ditemui tersepit antara kayu dan batu besar di dasar sungai tidak dapat dikeluarka­n berikutan arus deras.

“Usaha mengeluark­an mayat mangsa terpaksa dihentikan seketika semalam kerana waktu sudah menjelang malam dan diteruskan hari ini (semalam).

“Bagaimanap­un, ketika operasi disambung pagi tadi (semalam), mayat mangsa sekali lagi dihanyutka­n arus dan masih belum ditemui sehingga kini,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad berkata, operasi mencari akan diteruskan dengan kerjasama bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Beliau berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 12.45 tengah hari kelmarin daripada guru mangsa sebelum operasi SAR dilancarka­n.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia