Berita Harian

Warga Libya dituduh bunuh kakitangan TM

KES LANGGAR LARI DI CYBERJAYA

- Oleh Farah Marshita Abdul Patah

Seorang lelaki warga Libya didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam, atas tuduhan membunuh seorang kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM) dalam kejadian dipercayai langgar lari di Shaftsbury Square, Cyberjaya, baru-baru ini.

Ahmed Abdullah Ali, 24, yang juga penuntut universiti swasta hanya mengangguk faham, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Yusna Khadijah Md Yusop.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang berbaju lokap polis. Dia dilihat hanya mendiamkan diri dan tunduk sepanjang prosiding.

Berdasarka­n kertas pertuduhan, Ahmed didakwa menyebabka­n kematian Wan Amirah Wan Alias, 31, di Shaftsbury Square, jam 7.35 malam pada 17 Oktober lalu.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff dan Nur Siti Fairuz Roslan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sebutan semula kes

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Aziatul Afrizan Alias, memohon mahkamah menetapkan tarikh untuk sebutan semula kes, sementara menunggu laporan bedah siasat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Dalam kejadian itu, Wan Amirah parah dirempuh dan diseret kereta jenis Hyundai yang dipercayai dipandu Ahmed di Shaftbury Square, sebelum meninggal dunia di Hospital Putrajaya, kira-kira jam 4 pagi keesokanny­a.

Kereta dipercayai dipandu suspek itu turut merempuh kereta Proton, Toyota Avanza, Perodua Myvi dan Honda City di lokasi sama sebelum melarikan diri.

Insiden itu mendapat perhatian ramai apabila rakaman CCTV kejadian terbabit tersebar di media sosial.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini, Ahmed mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan dadah jenis 11nor-delta-9-tetrahydro­cannabinol-9-carboxylic-acid di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini, jam 6.10 pagi, pada 19 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda.

Dia turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabka­n cedera parah kepada seorang penuntut kolej, Basel Giumala A El Maarfi, 20, warga Libya, dengan menggunaka­n sebilah pisau panjang di Hyve Soho Suite, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya, jam 4.45 pagi, pada 30 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat atau denda.

Timbalan Pendakwa Raya, S Abirami, tidak menawarkan jaminan kerana mangsa dalam kes itu mengalami cedera parah dan tertuduh adalah warga asing dan dikhuatiri melarikan diri.

Bagaimanap­un, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Dinesh Muthal, memohon dibenarkan ikat jamin dengan alasan bakal menduduki peperiksaa­n akhir.

Hakim Harith Sham Mohamed Yasin tidak membenarka­n tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Disember ini untuk sebutan semula kes.

 ?? [FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR / BH] ??
[FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR / BH]
 ?? [FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR /BH] ?? Ahmed dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sepang, semalam.
[FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR /BH] Ahmed dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sepang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia